Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk V.Valluvan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menggunakan lorong kecemasan sehingga menjadi punca ambulans itu lewat tiba di lokasi kemalangan berhampiran susur keluar Simpang Ampat.
"JPJ Melaka sudah diarahkan menyiasat rakaman video kejadian yang diperoleh daripada orang awam bagi mengenal pasti kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan itu dan daripada penelitian, kita dapati sebanyak 91 kenderaan menggunakan lorong berkenaan.
"Daripada 91 kenderaan itu, tujuh daripadanya termasuk tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sudah dikenal pasti menghalang laluan ambulans dan akan dihadapkan ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ Johor, di sini hari ini.
Valluvan berkata siasatan seterusnya akan digiatkan bagi mengesan pesalah laku selebihnya supaya mereka turut dibawa ke muka pengadilan, sekali gus menunjukkan JPJ bertindak tegas berhubung kejadian terbabit.