Saturday, May 28, 2016

DEMI GENERASI YANG LEBIH BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT



Kerajaan berusaha memperkasakan sekolah agama, maahad tahfiz dan pondok bagi menyediakan sumber manusia yang beriman, berimu dan beramal.

Peruntukan diberi bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran. Sebanyak RM35.6 juta kepada 79 sekolah agama di Kelantan dan diikuti RM33.4 juta kepada 55 sekolah agama di Kedah.


Pertambahan bilangan pelajar sekolah aliran agama meningkat setiap tahun kerana mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa. Kini terdapat hampir 600 buah SAR dan SAN (Sekolah Agama Negeri) di seluruh negara iaitu sekolah yang ditadbirkan oleh pihak swasta sama ada oleh perseorangan atau badan-badan tertentu.
Sementara itu, bilangan SABK juga meningkat kepada 170 buah yang mempunyai pelajar melebihi 57,000 orang iaitu sekolah yang asalnya SAR tetapi berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran.
Mereka ini diberi peluang mengikuti aliran sains dan teknologi bagi membolehkan memasuki bidang-bidang profesional apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti nanti.
Adalah menjadi hak pelajar aliran agama yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memasuki bidang profesional yang membolehkan mereka memilih kerjaya sebagai doktor, akauntan, arkitek, saintis, jurutera, ahli farmasi, ‘programmer’ ICT dan lain-lain.
Di samping itu dengan memberi pendidikan yang baik dan berkualiti mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan berkemungkinan menjadi tokoh korporat, usahawan berjaya, aktivis masyarakat malah menjadi pemimpin politik.
Oleh itu, pelajar-pelajar perlulah diberi peluang untuk mengambil dan mempelajari mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Perakaunan dan ICT sejak dari awal lagi.
Kesimpulannya, pelajar yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh akan menjadi tenaga kerja yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi. Diharapkan mereka akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Mereka inilah diharap akan menjadi rakyat yang terdidik dengan keindahan dan kebaikan Islam. Semoga golongan jumud, jahil dan angkuh seperti sesetengah orang dalam friend list saya ini pupus dimasa akan datang.










No comments:

Post a Comment