INILAH bayi yang dipercayai dilarikan penculik bermotosikal.
INILAH bayi yang dipercayai dilarikan penculik bermotosikal.
Bayi lelaki berusia 15 bulan itu dikatakan dilarikan ketika dia bermain bersama abang tirinya di ha­dap­an sebuah kedai run­cit kira-kira pukul 6 petang.
Abang mangsa yang menyedari kejadian itu terus memaklumkan kepada keluarganya sebelum kakaknya membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Mat Zani Che Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, mangsa ba­gai­manapun ditemukan selamat.
“Salah seorang anggota keluarga telah membuat laporan po­lis pada pukul 6.28 petang berhubung kes ini, sebelum polis mengerahkan pasukan untuk me­lakukan tindakan lanjut.
“Polis bersama penduduk kemudian menemukan bayi di sebuah perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak dalam keadaan baik,” katanya di sini hari.
Kehilangan bayi di­kenali sebagai ‘Syu­kur’ itu viral di laman sosial teruta­manya ap­likasi WhatsApp setelah dikatakan di­culik oleh suspek yang bertubuh kurus tinggi, bermisai dan berjanggut serta memakai pakaian hitam selain bertopi keledar penuh.
Mengulas lanjut, Mat Zani memberitahu, bayi itu dipercayai ditinggalkan di perhentian bas setelah suspek mendapat maklumat gerakan mencari sedang dilakukan polis.
“Setakat ini kita masih tidak dapat mengesan suspek dan gerakan memburu sedang dilakukan. Bayi itu juga dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya belum mengklasifikasikan kes tersebut sebagai culik kerana saksi kejadian masih dicari polis.