Wednesday, June 22, 2011

Agenda utama PAS sekarang ialah menjatuhkan kerajaan.., bukan nak menegakkan Islam.

KOTA BHARU 2 Sept. – Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.

“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.

“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.

“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.

“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.

“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

Tokoh Katalis Kebangkitan Islam: Salahuddin Al-Ayyubi

Sebelum melihat dengan baik siapa Saladin ini mari kita sama-sama menghaturkan sedekah al-Fatihah untuknya dan semoga satu hari nanti lahir seorang lagi Saladin baru untuk menyelamatkan kembali Palestina khususnya dan Islam pada umumnya. Amin.
Baru-baru ini, industri film barat telah berjaya memaparkan sebuah film bertajuk “The Kingdom of Heaven” yang menampilkan Orlando Bloom sebagai Balian of Ibelin. Sekalipun telah mendapat kritikan dahsyat dari sebagian besar masyarakat barat, film yang telah berjaya di peringkat “Box Office” ini merupakan satu-satunya film yang telah mengimbangi kedudukan Islam di tengah-tengah konflik Israel-Palestina dan kekeliruan di kalangan masyarakat antara bangsa mengenai Islam.
Film tersebut juga telah membuat generasi muda Melayu terpegun dengan kehebatan dan kemulian Salahuddin Al-Ayubi sebagai salah seorang tokoh Kebangkitan Islam.
Salahuddin Sebagai Tokoh Katalis Kebangkitan Islam
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorang pun yang menyangka sebelum dia menguasai Mesir dan menentang tentara Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merebut kembali Palestina dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada yang menyangka pencapaiannya sedemikian hebat sehingga menjadi contoh dalam memerangi kekufuran hingga hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang gubernur yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satu pun tanda-tanda dia akan menjadi orang hebat di masa depan. Akan tetapi dia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau bagaimanapun Allah telah menakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika dia menjadi tentara Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir.
Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, dia tiba-tiba berubah. Dia yakin bahwa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika dia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin memerintah Mesir dengan sebaik-baiknya. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah dia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan Stanley Lane Poole (1914) telah menulis bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya ke hal-hal yang lebih keras. Dia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengesampingkan corak hidup yang penuh kesenangan dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tentaranya. Dia mencurahkan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.
Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud menganugrahkan Palestina untukku.” Ini menyebabkan dia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan dia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi
Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentara Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tentaranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada siapa pun yang berbicara kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa saja yang menggalakan jihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa saja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila dia telah memuliakan jihad melawan tentara Salib (dikenal dengan istilah Crusaders) dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya pada persiapan perang dan menaikkan semangat tentaranya.
Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Dia akan bergerak dari satu ujung medan peperangan ke ujung lainnya untuk mengingatkan tentaranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Dia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang air mata ketika mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika dia mengepung Acre dia hanya minum, itu pun selepas dipaksa oleh dokter peribadinya tanpa makan. Dokter itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Senin karena dia tidak mau perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Salib di Hittin

Perang Hittin: Titik balik jatuhnya Yerusalem ke tangan Islam pada 583H
Satu saat peperangan yang sengit terjadi antara tentara Salahuddin dengan tentara Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentara Salib kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristen yang memerintah Palestina telah ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Banyak pula tentara-tentara Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat dilihat seorang tentara Islam telah membawa 30 orang tentara Kristen yang ditawannya sendiri diikat dengan tali kemah.
Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Diperkirakan 30,000 tentara Kristen tewas dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada Islam
Peperangan Hittin telah melengkapi kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkemah di medan peperangan saat peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah kemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestina dan Reginald dari Chatillon masuk ke kemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.
Kemudian dia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika dia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika dia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad SAW atasnya”. Lalu dia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari kemah.
Raja Palestina ketika melihat adiknya dipancung, dia gemetar karena menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.
Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatat ketika jamaah haji dari Palestina diserang dianiaya tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya mengiba-iba supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Ketika dia mendengar berita ini dia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila dia dapat menangkapnya.
Salahuddin Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah bagi Salahuddin untuk menaklukan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatat bahawa Salahuddin sangat-sangat berniat untuk menaklukan Baitul Muqaddis hingga bukit pun akan menjadi bagian kecil yang membebani hatinya. Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, yaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki lapangan suci tempat Rasulullah S.A.W. naik ke langit.
Dalam catatan Bahauddin dia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, pedagang dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan selamat kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Gema “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit.
Setelah 90 tahun silam, saat itu shalat Jumaat telah dapat diadakan lagi di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah saja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristennya. Ahli sejarah Kristen pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya dari membalas dendam. Dia telah menuliskan bahwa Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristen menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hingga tidak terdengar orang-orang Kristen diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima uang tebusan dari orang-orang Kristen yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahwa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah memberikan infak, Padri besar pun telah menderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu dia memerintahkan pegawainya mengumumkan di jalan-jalan Jerusalem bahawa siapa pun yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berbondong-bondong keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung harga tebusan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentara Kristen ketika menaklukan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas cerobong dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasib baik orang-orang Kristen apabila mereka dilayani dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem saja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka dia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestina kepada orang-orang Kristen pada tahun 1099 (490H) sementara yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian dia telah menguasai Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentara Kristen ini telah menggemparkan seluruh dunia Kristen Barat. Maka bantuan dari Eropa telah kerahkan ke bumi Palestina.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristen seperti Fredrick Barbossa Raja Jerman, Richard The Lionheart RajaInggris, Philips Augustus Raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara sepupunya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentara yang bersekutu sebesar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi letih dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak setuju untuk membuat perjanjian di Ramala pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestina seluruhnya kecuali wilayah Acra terletak di bawah pemerintahan Kristen. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole mencatat perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajut selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tak satu inci pun tanah Palestina berada di tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramala pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak merasa malu dengan perjanjian ini walaupun sebagian kecil tanah Palestina masih di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristen telah mengangkat senjata. Raja Inggris, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestina untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristen. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang datang dan sebagian pembesar-pembesar Kristen telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kriten yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyahkan kekuatan Salahuddin. Tentaranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah mundur apabila diseru untuk mempertaruhkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tentaranya yang berada jauh di lembah Tigris di Irak mengeluh dengan tugas yang tiada henti-hentinya, tetapi ketaatan mereka tidak pernah terbagi lagi.
Bahkan dalam peperangan Arsuf, tentaranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang dapat memberikan kepercayaan kepada tentara-tentaranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana saja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan mulai peperangan pada tahun 1187 hingga berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa bermusyawarah. Dia mempunyai majelis syura (musyawarah) yang membuat keputusan-keputusan ketentaraan. Kadang-kadang majelis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majelis ini tak seorang pun yang mempunyai suara lebih berat yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama saja. Dalam majelis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentara, kadi, bendahara dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majelis itu, mereka tetap taat kepada Salahuddin.
Kematian Salahuddin Al-Ayubi
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah stelah bersusah payah mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas dia jatuh sakit, dia menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang taat beragama telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika dia sedang menghadapi sakaratul maut, bacaan Qur’an dan syahadah dapat diperdengarkan kepadanya.
Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Pada saat itu Salahuddin selalu pingsan dan sadar sebentar. Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira dia berkata, “Memang benar”. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Saat itu adalah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika dia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk upah mengebumikannya. Keluarganya terpaksa meminjam uang untuk menanggung upah pemakaman ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
Salahuddin yang Taat Beragama
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin mencatatkan tentang ketaatan Salahuddin. Satu hari dia berkata bahwa dia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Dia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya dia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W., dia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika ada hal lain yang menyebabkannya tidak dapat sembahyang malam, dia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana dia telah sangat lemah dan selalu pingsan.
Tetapi dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Dia tidak pernah membayar zakat kerana dia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia hanya memiliki 47 dirham uang perak dan satu dinar uang emas. Dia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatat bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali karena dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun dia berpuasa hingga dokter menasihatkannya dengan tegas supaya berbuka. Lalu dia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera dia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin sangat ingin menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun wafatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi takdir berkehendak lain. Dia sangat gemar mendengar bacaan Al-Qur’an. Dalam medan peperangan dia acap kali duduk mendengar bacaan Qur’an para pengawal yang dikunjunginya hingga 3 atau 4 juz’ semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah S.A.W. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadist dibacakan. Apabila ulama hadist datang, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang dia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada saat itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari kepungan tentara sekutu Kristen. Walaupun keadaan sangat mendesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim dingin. Bahaauddin mencatat, “Hanya aku dan Salahuddin saja pada saat itu. Dia menghabiskan waktu malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah malam saya minta supaya dia beristirahat tetapi jawabnya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Saat hampir subuh aku pun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati dia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau bermunajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu dia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku menjawab, hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan diam-diam. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah S.A.W. pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh karena itu kau bermunajatlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala perbekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau saja yang dapat menolongku dalam keadaan yang genting ini”
Aku berkata kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perpecahan terjadi di antara musuh-musuh yang menyebabkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka kemah-kemah mereka dan berangkat ke Ramala pada hari Senin pagi”
Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi
Siapa yang dekat dengannya mengatakan dia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatat bahwa dia telah memberikan waktu untuk rakyat dua kali seminggu, yaitu pada hari Senin dan Selasa. Pada waktu tersebut ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang dapat berjumpa dengannya. Dia sendiri akan membacakan pengaduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada saat itu juga. Dia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi dia belum menyempurnakan maksud orang itu. Dalam saat yang sama dia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat pengaduan, dia akan mendengarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat pengaduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera dia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Pada saat yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak beralasan, dia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.
Dia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci ketidakadilan. Dia sentiasa mengabaikan kekhilafan-kekhilafan para pembantu dan khadamnya. Jika mereka melakukan kesalahan yang memanaskan hatinya, dia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika dia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Dia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Dia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.
Pada yang lain dia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu dia meminta air dingin. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air dingin itu terpercik kepadanya. Disebabkan dia belum benar-benar sehat, dia merasa kedinginan tetapi dia hanya berkata kepada khadamnya, “Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru dikuasainya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika dia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentara, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati dia memberikannya. Bahkan beberapa kali dia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharanya selalu merahasiakan baki uang simpanan untuk digunakan pada masa darurat.
Jika dia tahu, dia akan menyedekahkan kekayaan negara hingga habis. Salahuddin pernah mengatakan bahwa baginya uang dan debu sama saja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Dia mengatakan dirinya”. Salahuddin tidak pernah membiarkan tamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau barang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan dia menyambutnya dengan tangan terbuka, melayaninya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan es dan buah-buahan kepada Richard the Lionheart, musuh beratnya, ketika Raja Inggris itu jatuh sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga dia sangat mudah tersentuh apabila melihat orang lain dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristen datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari kemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan dia telah diberitahu bahwa hanya Salahuddin saja yang bisa mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu dia pun turut menangis. Dia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin juga mencatat Salahuddin sangat belas kasihan kepada anak-anak yatim. Bila dia berjumpa anak-anak yatim dia akan mengusahakan supaya ada orang yang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang dia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Dia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang berkurangan dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila dia bertemu dengan orang seperti itu.
Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin Al-Ayubi
Ketika mengepung negeri Acre, Bahauddin mencatat bahawa Salahuddin mengidap sakit berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, dia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tentaranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana dia bisa menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.
Pada saat yang lain dia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi dia pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila dia sakit”, kata Bahauddin,” Aku dan dokter akan bersamanya sepanjang malam. Dia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, dia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Dia mengantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan dokternya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda hingga musuh mundur apabila senja menjelang. Dia hanya akan kembali ke kemah selepas memberikan arahan untuk penjagaan malam”.
Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tak ada yang dapat menandingi Salahuddin. Kadang-kadang dia sediri pergi ke kawasan perkemahan tentara musuh bersama para pengintainya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang dia sendiri akan pergi menempuh celah-celah tentara musuh yang sedang marah. Dia sentiasa mengadakan pemeriksaan pada setiap tentaranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tentaranya. Bahauddin mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.
Salahuddin diberitahu bahwa dia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar hal ini dia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentara Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam beberapa saat, tentara Salib berjumah sekitar 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentara yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah dia menang, membunuh banyak musuh dan membawa banyak tawanan.
Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentara musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit pada saat kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh itu telah menyebabkan tentara Islam kalang kabut. Tentara musuh telah mencapai kemah-kemah tentara Islam bahkan telah sampai ke kemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tentaranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah dan mundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin mencatat betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak memberi tahu kamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan berlayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai.
Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama
Salahuddin memiliki dasar pengetahuan agama yang kokoh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdi. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan kabar dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang senantiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.
Lane-Poole juga menuliskan bahawa Salahuddin mempunyai pengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqih dan juga tafsir Qur’an.
Rujukan :
Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H.Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31,32-33, 7,155 Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99
Dipetik :
Biografi Salahuddin Al-Ayyubi oleh Abul Hassan Ali Nadwai Judul Asli : Saviors of Islamic Spirit.

KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH

Pemimpin Tentera Selempang Merah banyak berjasa halang kekejaman askar PKM di Batu Pahat, Johor
"SEKIRANYA tiada Panglima Salleh, mungkin tidak ramai penduduk asal Batu Pahat dan Muar di Johor yang masih hidup ketika ini kerana mereka mungkin mati dibunuh komunis," demikian ulas penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar ketika mengenang kembali sejarah perjuangan Salleh Abdul Karim yang kini semakin dilupakan ramai pihak.

Beliau berkata, jasa Panglima Salleh amat besar malah mungkin setaraf dengan perjuangan tokoh terdahulu seperti Tok Janggut dan Mat Kilau tetapi melewati masa, nama pahlawan itu semakin dilupakan dan tidak mustahil akan hilang dalam catatan sejarah negara, suatu hari nanti.

"Walaupun tidak banyak catatan mengenai perjuangan dan kehidupan beliau yang direkodkan dalam sejarah tanah air, nama Panglima Salleh tetap kekal diingati dan disebarkan menerusi lisan oleh penduduk sekitar Batu Pahat dan Muar.

"Walaupun hampir setengah abad tokoh pahlawan itu meninggal dunia, kisah keperwiraan Panglima Salleh tetap diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya di Johor dan semangat beliau dijadikan teladan buat anak muda hari ini," katanya.

Sememangnya benar berbanding dengan nama pahlawan lain seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Tok Gajah atau Leftenan Adnan, mungkin ramai tidak mengenali siapakah Salleh Abdul Karim yang turut digelar Panglima Salleh.

Sumbangan Panglima Salleh amat besar, ketika komunis mengganas dengan menyeksa dan membunuh kejam penduduk tempatan sekitar Batu Pahat dan Muar, tokoh itu bangun 'mengamuk' menentang pengkhianat negara itu bagi mempertahankan maruah bangsa.

Tentangan hebat diberikan Panglima Salleh dan pasukan 'Tentera Selempang Merah' yang ditubuhkannya menyebabkan nama tokoh itu digeruni komunis sehinggakan mereka tidak berani lagi bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan sesuka hati.

"Apa yang mengagumkan saya adalah Panglima Salleh sanggup 'turun padang' untuk bertempur dan memerangi sendiri askar komunis, beliau tidak takut mati malah sanggup mempertaruhkan darah dan nyawanya sendiri demi membela agama dan bangsa," katanya.

Menyedari tidak banyak catatan mengenai jasa dan sejarah kehidupan Panglima Salleh yang direkodkan, Dr Tuah mengambil inisiatif mengkaji seterusnya mengabadikan kisah pejuang itu dalam bukunya 'Membina Jati Diri Gemilang'.

"Riwayat hidup Panglima Salleh bermula apabila beliau dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar pada 1916," kata Dr Tuah seterusnya memulakan kisah perjuangan Panglima Salleh menentang komunis demi membela agama, bangsa dan negara.

Keperwiraan Salleh mula diasuh sejak kecil apabila beliau mula menuntut ilmu kepahlawanan daripada beberapa pendekar di Pagoh antaranya Haji Hussein, Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad ketika beliau berusia 13 tahun.

Ketika usia mudanya itu, beliau dikenali sebagai seorang yang agak 'nakal'. Ada cakap-cakap mengatakan dia pernah mencuri, bagaimanapun dia menyara hidup dengan menjadi peraih yang mengutip tanaman penduduk kampung untuk dijual di Batu Pahat.

Akan tetapi, kehadiran tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 mula menggugat kehidupannya lalu beliau berpindah ke Seri Medan yang menjadi lubuk Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya ke Parit Gantung, dekat Lopiak.

Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Berikutan itu, Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.

Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.

Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan.

Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis.

Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.

Penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada suku Banjar dan Jawa mula percaya yang kehilangan saudara mereka adalah angkara komunis berikutan mereka enggan tunduk kepada perintah dan arahan pihak terbabit.

Pihak komunis pula mengesyaki penduduk Mukim Empat berpakat dengan tentera Jepun untuk memerangi mereka menyebabkan mereka mula menangkap penduduk yang disyaki seterusnya dihukum bunuh.

Kemelut itu akhirnya menyebabkan penduduk tempatan mula menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha menentang komunis. Penduduk juga mula bangkit membela diri dan pembunuhan balas antara komunis dengan penduduk Mukim Empat semakin memuncak.

Ketika tentera Jepun di ambang kekalahan, komunis semakin bermaharajalela di Johor. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Pertemuan Salleh dengan seorang tokoh iaitu Haji Kadri pada petang 4 April 1945 akhirnya mula membenihkan semangat juang demi membela agama, bangsa dan tanah air di dalam hati sanubarinya.

* Ada dikatakan Kiyai Salleh juga belajar dengan Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten (Kiyai Fadhil) ulama' tasauf dan tarikat yang amat masyur ketika itu

Kesedaran tulus itu menyebabkan Salleh mula bangkit menentang komunis. Dengan pedang pusaka Raja Riau disisip di pinggang, berpakaian serba hitam, Salleh mula melangkah gagah memasuki gelanggang perang bersama doa dan bacaan ayat suci yang dibaca berulang kali.

Penyertaan Salleh dalam penentangan terhadap komunis menyebabkan namanya dicalonkan Haji Kadri supaya memimpin Persatuan Muhammadiah selepas pemimpin sebelum itu, Ijam Ahmad menarik diri.

Walaupun pada mulanya ada ahli tidak bersetuju dengan pencalonan Salleh berikutan ‘kenakalan’ tokoh itu ketika muda, akhirnya semua ahli akur untuk menerima Salleh sebagai pemimpin persatuan itu.

Ini berikutan Salleh dikenali sebagai seorang yang hebat dalam ilmu persilatan dan tinggi ilmu batin malah sikap gagah berani tokoh itu dilihat amat sesuai untuk mengepalai pasukan perang menentang komunis.

Sebaik dilantik, Salleh mula menyusun strategi dan mengumpul anak muda yang tidak gentar atau lemah semangat untuk bersama-samanya bertempur. Anak muda itu diajar amalan tertentu bagi menguatkan aspek kebatinan masing-masing.

Seterusnya di bawah pimpinan Salleh, serangan demi serangan mula dilancarkan pasukannya yang turut digelar 'Tentera Selempang Merah'. Serangan Tentera Selempang Merah terhadap komunis tercetus di seluruh Batu Pahat dan Muar.

Selain serangan secara berpasukan, Salleh juga bertindak berani apabila berbasikal seorang diri hampir setiap malam semata-mata untuk mencari komunis bagi dibunuh dan dicantas kepalanya.

Di bawah bimbingan Salleh, semangat perjuangan di kalangan penduduk ketika itu amat berkobar-kobar dan mereka mula merancang satu serangan besar-besaran terhadap komunis di Bandar Penggaram.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dihalang Datuk Onn Jaafar dan tokoh politik itu sebaliknya cuba mengaturkan perdamaian antara pihak Salleh dengan komunis.

Lalu pada 15 September 1945, pada satu pertemuan di Tangkak, Muar, akhirnya pemimpin PKM dan Salleh akur untuk mengadakan perdamaian selepas tiga hari berbincang.

Bagaimanapun, perjanjian damai itu akhirnya dikhianati komunis apabila mereka terus melakukan angkara dan membunuh kejam penduduk tempatan terutama apabila Jepun menyerah kalah.

Pengkhianatan itu segera membangkitkan kemarahan Salleh dan beliau kembali mengumpul pasukan Tentera Selempang Merahnya untuk kembali menentang komunis Bintang Tiga itu. Serangan berterusan dan semakin ramai komunis yang maut di tangan pahlawan itu.

Jasa Salleh dalam usaha menghapuskan komunis menyebabkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim memberi gelaran 'Panglima' kepadanya pada 26 Disember 1945 malah beliau turut dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.

Selepas menabur begitu banyak jasa terhadap agama, bangsa dan tanah air, Panglima Salleh akhirnya meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 iaitu selepas hampir dua tahun negara beroleh kemerdekaan.

Tokoh pahlawan itu meninggal dunia akibat penyakit bengkak paru-paru sekali gus meninggalkan nama dan keperwiraannya sebagai sebuah kisah pejuang ulung yang meniti daripada bibir ke bibir.

Komunis terkejut tubuh tak lut peluru

SELAIN semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu.

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa.

"Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil malah boleh mengghaibkan dirinya.

"Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis," katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya 'Panglima Salleh Selempang Merah' yang diterbitkan pada 1988.

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran.

"Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasi dan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja.

"Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri," katanya.

Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbang mencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran.

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api.

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan.

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi.

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya.

"Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang.

"Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan," katanya.

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka.

"Ramai beranggapan yang Panglima Salleh dan anak muridnya yang menerima cebisan kain itu kebal tetapi mengikut seorang daripada pengikutnya, mereka semua tidak kebal.

* Ada juga diceritakan beliau sendiri turut tercedera dibahu terkena tikaman tombak semasa berperang, ini menunjukan beliau tidaklah kebal sebagaimana yang diwar-warkan, perlu diingat bahawa perkara yang mencarik adat biasa terjadi kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, jika seseorang itu kejap dan kukuh tauhidnya tulus tawakkalnya kepada Allah memang harus bagi Allah mengurniakan keramat atau maunah kepada hambaNya yang dikehendaki, para pendekar dan hulubalang islam berjuang untuk menegakkan addin atau mati dijalan Allah, syahid matlamat kita dan mereka, bagaimana mungkin pejuang islam menuntut ilmu kebal untuk mengelak diri dari mati, terlebih lagi dari mati syahid dijalan Allah..bagi saya kebalnya dari peluru, tak lut senjata berasal dari kebalnya hati dan iman dari panahan syaitan, itulah kekebalan para pejuang islam. Terkadang Allah mengurniakan kemuliaan atau menzahirkan keramat untuk mengejapkan iman hambanya, inilah rahsia kurniaan ilahi kepada hambaNya yang bertakwa.. kebalnya hati sanubari terzahir di jasad kebal dari senjata. wallahuaklam. (muhibmahbub)

"Panglima Salleh memberi cebisan kain merah dan menjampi air tempayan untuk diminum pengikutnya sebagai permainan psikologi, supaya pengikutnya lebih bersemangat dan yakin ketika bertempur. Mungkin kain merah itu diberi supaya beliau dapat membezakan pengikutnya dengan komunis apabila terkorban," katanya.

PROFIL: Kiyai Salleh Abdul Karim

* Gelaran lain: Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling

* Tahun lahir: 1916

* Tempat lahir: Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor

* Tarikh meninggal: 21 April 1959

* Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor.

Artikel tulisan Nasron Sira Rahim dalam Berita Harian