KOTA BHARU - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah tidak kisah dengan kritikan ahli-ahli Pas berhubung dengan pelbagai isu peribadi, termasuk perantisan jawatan nombor dua negeri yang disandangnya kini.

Bercakap dalam wawancara dengan Sinar Harian semalam, Mohd Amar berkata, beliau mengakui menerima banyak kritikan daripada blog dan laman sosial, tetapi enggan menjawab, sebaliknya lebih gemar mengadakan pertemuan dengan pihak yang dikatakan ‘tidak tahu cerita sebenar’.

“Ada yang menulis (blog dan Faceebok) itu tidak tahu cerita betul. Dia mungkin mendengar cakap-cakap dan tulis. Jadi itu yang jadi masalah, saya pula jenis yang tidak suka jawab, lebih-lebih lagi dalam Facebook.

“Tetapi kalau datang jumpa (saya) macam ( Datuk) Dr Prof Agus; ini sikap yang saya hormati. Begitu juga NGO Royalti (yang) datang jumpa sampai dua jam lebih. Saya nak macam tu. Siapa tak puas hati boleh datang jumpa. Saya akan terangkan sekadar mana saya boleh,” katanya.

Mohd Amar, yang bertanding sebagai Timbalan Presiden Pas, memberi contoh dalam soal pelantikan pemilihan calon negeri dalam PRU13 lalu, adalah mustahil beliau menjadi individu yang mengatur pencalonan itu kerana hanya berjawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas III Negeri.

“Pelbagai tuduhan saya terima sedangkan ia datang dari jawatankuasa berdasarkan kajian awal pilihan raya, Kita gabungkan pandangan ini dan putuskan dalam mesyuarat. Tak kan saya boleh kontrol semua keputusan sedangkan kita ada mesyuarat untuk laksanakan apa-apa keputusan, bukan saya sorang.

“Tak kan saya boleh arah tok guru (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Kalau tuduh saya bukan-bukan, itu tuduhan liar. Kalau betul saya aturkan, saya nak tanding dua-dua. Parlimen pun nak, Dun pun nak,” katanya dalam nada berjenaka.

Berhubung dengan yang dakwaan beliau bersifat “lebih kuah dari sudu’ iaitu mendahului menteri besar dalam pentadbiran kerajaan negeri, Mohd Amar berkata, semua kenyataannya yang dikeluarkan adalah berdasarkan bidang tugas sebagai timbalan menteri besar.

“Itulah demokrasinya kita dalam kerajaan. Bukannya menteri besar  seorang nak bercakap semua perkara. Kalau menteri besar seorang, apa gunanya kita ada exco? Itulah tandanya kita kerja berpasukan,” katanya.

Mengenai tuduhan beliau yang mengatur nama-nama dalam pentadbiran negeri sejurus kemenangan Pas dalam PRU13 lalu, Mohd Amar berkata, pihak-pihak yang terlibat tahu dengan situasi yang melibatkan istana itu.

“Semuanya urusan istana. Individu yang terlibat semua dah tahu, bukan yang kita ada-adakan. Saya tidak simpan dalam hati semuanya itu. Oleh kerana itu, saya masih mampu tidur dengan tenang,” katanya.