Tuesday, October 20, 2015

100K DIANGGAR MENYERTAI PLKN 2.0



Bagaimana kita ingin melihat generasi akan datang hidup dalam aman damai dalam negara berbilang kaum dan agama ? Apakah Pelan Tindakan Perpaduan yang telah dirancang dalam memupuk integrasi nasional ? 

Sebenarnya perpaduan kaum  dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kaedah ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. 


Bagi menyemai benih perpaduan kerajaan telah melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Sejak diperkenalkan pada 2004, PLKN telah menjadi wadah pembinaan sahsiah diri yang bermatlamat mengukuh dan membina semangat patriotisme, memupuk perpaduan dan integrasi nasional. 

Walaupun program PKLN telah ditangguhkan sementara selama setahun sebagai langkah penjimatan dalam ketidaktentuan ekonomi negara ketika itu. Kini setelah ditambahbaik dengan modul-modul baru, PLKN kini lebih nampak menarik dan relevan dalam kesesuaian semasa. Jika dahulu PLKN mengambil peserta secara rawak kini pihak sekolah akan memilih dan menawarkan secara sukarela kepada pelajar di tingkatan lima. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Khidmat Negara, Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, JLKN akan berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi membolehkan pihak sekolah membuat pemilihan dan menawarkan kepada pelajar untuk mengikuti perogram ini. Yang mana berminat untuk mengikut program PLKN, boleh menawarkan diri mereka secara sukarela manakala pihak sekolah boleh memilih mereka yang dirasakan layak. 

Bagi sesi Januari 2016, pelatih PLKN akan ditempatkan di 82 kem PLKN di seluruh negara. Dianggarkan lebih kurang 100,000 pelatih akan menyertai program PLKN. Beliau berkata demikian ketika melawat dan meninjau Projek Perintis Transformasi PLKN di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang.

Projek Perintis ini diadakan bagi melihat hasil keberkesanan modul baharu yang bakal diperkenalkan tahun hadapan. Seramai 469 pelatih menyertai Projek Perintis ini, mereka terdiri dari 315 peserta lelaki dan 154 peserta perempuan. Dalam tempoh itu sebarang kelemahan dan kecacatan dapat dikesan dan diperbaiki lebih awal. 

Jika dahulu Program ini dijalan selama 3 bulan, kini PLKN 2.0 sesi latihannya telah dikurangkan kepada 2 bulan atau 8 minggu. Pelatih yang berkelayakan akan ditawarkan  latihan  kemahiran di IKBN terpilih selepas tamat latihan. Disini pelatih juga akan diberi tunjuk ajar dan idea untuk memilih kerjaya di masa hadapan. Mereka akan dibimbing bagaimana memilih kerjaya berdasarkan kemahiran dan minat mereka. PLKN 2.0 lebih menjurus kepada kemahiran untuk pelatih. 

Sebelum ini, Pengerusi PLKN Datuk Noor Ehsanuddin juga telah menegaskan bahawa penambahbaikan modul baharu PLKN akan mengikut kesesuaian masa. Kerajaan berharap dapat membentuk remaja atau belia yang berdisiplin, berketerampilan dan juga mempunyai nilai patriotisme yang tinggi. Semoga ilmu yang mereka timba disini dapat digunakan untuk kehidupan mereka dimasa akan datang. 

Diharap Program PLKN 2.0 ini akan memberi impak yang positif, bukan sahaja kepada proses integrasi nasional negara bahkan kepada generasi muda akan datang. Semoga negara kita ini diwarisi oleh generasi yang berdaya maju, cergas dan cerdas dari segi mental dan fizikal.