Tuesday, July 15, 2014

ILMU ASAS KEKUATAN UMAT ISLAM

APAKAH kita (umat Islam) perlu menderita dalam senyap dan menanti syurga kita di akhirat ? Ini bukanlah cara Islam malah ia amat bertentangan dengan sunnah Nabi.

Al-Quran menyuruh kita menyediakan kekuatan untuk menghalang dan mengalahkan musuh dengan kekuatan senjata , jika dahulunya angkatan Kuda perang dan pasukan memanah. Ramai yang berfikir bahawa jika kita mempunyai angkatan kuda perang dan pasukan memanah maka kita telah memenuhi kewajipan kita sebagai umat Islam. Tetapi apa yang penting bukan kuda perang atau pasukan memanah. Yang lebih penting ialah adakah kita mampu menghalang dan mengalahkan musuh-musuh kita. Dan sudah tentu pada hari ini kita memerlukan senapang , roket, kapal perang , pesawat pejuang, kereta perisai dan lain-lain senjata yang canggih. 

Kita tidak boleh bergantung pada orang lain untuk membekalkan kita dengan perkara ini selama-lamanya, lebih-lebih lagi dibekalkan oleh mereka yang menentang kita. Kita sendiri perlu mengadakannya, mereka bentuk, menghasilkan dan menguji senjata dan pertahanan sendiri .


Sudah tentu untuk melakukan semua ini kita perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran sains dan teknologi. Oleh itu mereka yang menguasai ilmu sains, matematik dan memperoleh kemahiran teknologi adalah mereka yang mentaati dan memenuhi ajaran Islam. 


Manakala Mereka yang menghalang umat Islam daripada belajar dan menguasai mata pelajaran ini dengan mengatakan bahawa hanya pelajaran agama akan mendapat pahala di sisi Allah maka kita sebenarnya sedang bertentangan dengan ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi SAW. Ini sudah tentu akan melemahkan umat Islam dan menghalang mereka daripada meletakkan ketakutan di hati musuh-musuh Islam.


Orang-orang seperti ini yang menghalang orang Islam daripada mempunyai kapasiti mereka sendiri untuk melindungi diri mereka dari musuh Islam sebenarnya membantu penindasan umat Islam.