Saturday, May 6, 2017

RASUAH, PEMIMPIN POLITIK PUN TAK AKAN TERLEPAS - SPRM






Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan akan tetap meng­heret pemimpin yang terlibat de­ngan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan ca­lon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihak­nya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti.

“Sebelum pilihan raya, bukan­ tanggungjawab SPRM untuk menyiasat calon melainkan kita di­min­ta berbuat demikian tetapi se­lepas calon dipilih, saya akan memastikan mereka yang mempunyai rekod ini disiasat.


“Tindakan SPRM ini tidak me­ngira parti politik kerana mereka dilantik sebagai wakil rakyat dan seorang pemimpin tidak boleh mengkhianati rakyat,” kata­nya semasa pertemuan dengan Ketua-ketua Pengarang Syarikat Media Tempatan dalam Program Kaukus Khas Media Antirasuah di sini hari ini.

Dzulkifli memberitahu, SPRM juga telah memulakan siasatan kes melibatkan ahli-ahli politik termasuk kes berprofil tinggi, namun perkara itu tidak akan didedahkan dahulu kerana tidak mahu pihaknya diheret dalam kancah pilihan raya.

“Saya mahu SPRM menjadi sebuah badan yang dihormati, di­segani dan agensi terbaik dalam membanteras rasuah,” katanya sambil menegaskan SPRM bukan jentera atau alat kerajaan.

Dalam pada itu, Dzulkifli menjelaskan, walaupun matlamat SPRM adalah menghapuskan ra­suah tetapi ia mempunyai pelbagai kekangan termasuk keku­rangan anggota dan peruntukan.

Ujarnya, hanya terdapat 1,900 pegawai penguat kuasa beruniform dalam SPRM sedangkan terdapat 1.6 juta penjawat awam untuk diawasi.

“SPRM juga menerima jumlah peruntukan yang terendah pada tahun ini sejak 2013,” katanya.

Mengulas mengenai isu rasuah­ yang lain, Dzulkifli berkata, langkah tegas perlu diambil bagi men­gelak pembolosan dan penyeludupan di sempadan yang menyebabkan kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit, selain berlaku ketirisan wang kerajaan yang di­sebabkan salah laku pegawai.

“Terdapat pegawai penguat kuasa yang dibayar sehingga RM5 juta sebulan bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap sindiket yang terlibat dalam kegiatan haram seperti judi dan pelacuran,” dedahnya.




No comments:

Post a Comment