Friday, May 5, 2017

PERALIHAN KUASA MUNGKIN BERLAKU ?




Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata, beliau tidak menolak kemung­kinan akan berlaku peralihan kuasa peme­rintahan di Selangor tatkala desas-desus mengenainya sema­kin kencang ketika ini.

“Biasalah, ke­mung­­kinan (boleh) berlaku,” katanya sambil berseloroh sejurus diminta reaksi me­ngenai desas-de­sus wujud gerakan dalam ka­langan anggota PKR, bekas ahli parti itu, wakil rakyat Pas dan juga UMNO yang akan mengambil alih kuasa dalam kerajaan.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pulau Kapas dekat sini hari ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, semua pemimpin Pas di Sela­ngor akan patuh kepada arahan kepe­mimpinan Pas terutama berkaitan isu berkenaan.

“Apa yang pen­ting adalah semua pemimpin (Pas) Sela­ngor akan patuh pada arahan Pusat (Pas), itu yang pen­ting. Apa-apa pun tindakan, kita akan lihat per­kembangan selanjutnya,” ujar­­nya.

Ditanya kemungkinan pi­lihan raya di Selangor akan diadakan lebih awal, Abdul Hadi berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Sela­ngor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain berpandukan kepada perlembagaan negeri berkenaan.

“Itu terpulang kepada Selangor kerana negeri itu ada perlembagaannya sendiri yang perlu dirujuk kepada perlembagaan. Terpulang kepada Sultan dan tuanku yang ada kuasa sama ada nak terima pele­takan jawatan ataupun tidak,” jelas­nya.

Abdul Hadi seterusnya menyifatkan dakwaan sesete­ngah pihak bahawa tindakan Pas memutuskan hubungan dengan PKR sebagai merugikan Pas adalah suatu andaian semata-mata.

Namun, kata beliau, sekiranya perkara itu terjadi, ia akan menguntungkan Pas untuk memberi kerjasama kepada kerajaan demi kepentingan negara dan rakyat.

“Kita mengharapkan lebih menguntungkan terutama apabila wujud sikap pembangkang yang menasihat, pembangkang yang boleh bekerjasama. Ini boleh menimbulkan kea­daan stabil kepada negara yang boleh menguntungkan bukan saja politik tapi juga aspek ekonomi dan juga rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment