Tuesday, February 10, 2015

INI SEMUA KERJA KARUT...!!!

KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas Terengganu menyifatkan gerakan komplot menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai kerja karut yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti Islam.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah berkata, jika benar berlaku strategi terancang untuk menjatuhkan Abdul Hadi, ahli-ahli Pas boleh menilai wajah sebenar pemimpin-pemimpin tertentu yang dikaitkan dengan usaha terbabit.

Menurutnya, bukan sahaja ahli, masyarakat juga sedang memerhatikanapa yang berlaku dengan melihat watak-watak pemimpin yang wujud dalam sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan, sambil mempersoalkan sekiranya usaha komplot itu berjaya, ke arah mana sebenarnya individu tersebut mahu membawa Pas.

“Kalau betul sungguh (sebagaimana didakwa), dia hendak bawa kompas kita ke arah mana? Kita turut kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas dakwaan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim yang mendedahkan lima individu dalam kepimpinan Pas yang didakwa terlibat dengan strategi untuk menjatuhkan Abdul Hadi.

Realitinya beliau berkata, sebuah parti Islam tidak akan mengambil tindakan terburu-buru dengan cara seperti itu kerana parti yang dibawa itu adalah satu tanggungjawab yang perlu dijalani dengan baik, dan bukan ghairah mengharapkan kedudukan dengan cara tidak sepatutnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai Presiden, Abdul Hadi telah menunjukkan contoh baik kepada ahli, antaranya yang patut diberi perhatian apabila mengumumkan beliau bersedia untuk tidak bertanding sebelum ini, serta tidak menginginkan jawatan di samping pernah menyuarakan beliau tidak kisah menjadi nelayan setelah tidak lagi aktif dalam politik.

Katanya, sikap sedemikian adalah sikap yang tidak terburu-buru sebaliknya terbuka dalam memastikan gerakan parti Islam berjalan lancar.

“(Beliau berada dalam Pas) oleh sebab khidmat beliau masih diperlukan. Sampai masa akan ada masa orang lain pula. Tiada masalah. Ini (komplot) adalah kerja-kerja karut,” katanya.

Kamaruzaman turut menjelaskan bahawa sikap gopoh-gapah atau disebut ‘isti’jal’ dalam bahasa Arab adalah sikap yang merugikan diri sendiri dan orang lain.

SUMBER DARI SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment