Thursday, November 29, 2018

SEMOGA ADIB KEMBALI SIHAT


“Saya tidak mahu ambil pusing mengenai laporan yang tular berhubung kejadian itu kerana apa saya mahu adalah melihatnya kembali sihat seperti dulu.”

Itu kata-kata Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, bapa kepada Muhammad Adib, 24, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diserang perusuh di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya, awal pagi semalam.

Mohd Kassim berkata, dia hanya mengetahui insiden menimpa anaknya itu kira-kira jam 2.30 pagi semalam selepas menerima panggilan daripada pihak bomba.

Dia kemudiannya terus bertolak ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dari rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dengan ditemani isteri dan menantu sebelum tiba kira-kira jam 9 pagi.

“Alhamdulillah, keadaannya semakin baik dan ada perubahan. Jadi, kalau boleh, saya tak mahu ambil pusing sangat dengan laporan yang tular.

”Apa yang penting dia sihat, nampak depan mata. Itu sudah cukup dan saya berharap dia kembali sihat supaya dapat bertugas seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, Muhammad Adib yang pergi ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar kuil Sri Maha Mariamman bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu sebuah EMRS dan jentera FRT dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

BERITA HARIAN 

No comments:

Post a Comment