Sunday, March 12, 2017

PM PUASHATI KTMB SELESAI ISU TIKET ONLINE



 Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini puas hati dengan tindakan pantas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam menyelesaikan masalah berhubung perkhidmatan tiket dalam talian ETS.

Perdana Menteri berkata beliau telah menerima laporan daripada SPAD berhubung ketidakpuasan terhadap sistem tiket dalam talian ETS yang diutarakan baru-baru ini.

Najib berkata antara langkah penyelesaian yang dikenal pasti ialah meningkatkan kapasiti kemudahan akses internet khas untuk e-tiket.

"Ini akan membolehkan perkhidmatan e-tiket yang disediakan lebih cekap bagi kegunaan pelanggan. Ini akan dilaksanakan sebelum 9 Mac 2017," kata Najib menerusi catatan di laman blog rasmi beliau, malam ini.

Najib berkata pihak KTMB juga menambah bilangan kakitangan khidmat pelanggan terlatih serta merta untuk meningkatkan mutu khidmat pelanggan KTMB itu.

"Laman sesawang portal e-tiket akan direka semula menjadikan ia laman utama atau landing page, termasuk membangunkan semula portal e-tiket KTMB menjadi lebih mesra pengguna dan berorientasikan jualan," kata Najib.

Beliau berkata mekanisme pemulangan bayaran bagi transaksi yang gagal kepada pelanggan juga ditambah baik dengan kerjasama pihak bank, termasuk notifikasi kepada pelanggan melalui e-mel dan SMS. Usaha ini akan dilaksanakan sebelum 21 Mac 2017.

Najib berkata setiap cadangan yang dikemukakan akan dapat memanfaatkan rakyat yang dapat melihat perubahan dan penambahbaikannya tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kesemua cadangan ini juga akan dipantau sehingga terlaksana dan mencapai objektif memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat," kata beliau.

No comments:

Post a Comment