Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata, Perdana Menteri yang dalam perjalanan ke Sochi, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN akan berada di sini dari 15 hingga 18 Mei bagi menghadiri beberapa program kerjasama kerajaan dan perniagaan.

Katanya, antara aktiviti utama sepanjang lawatan kerja Najib kali ini ialah menyampaikan ucaptama pada Showcase Pelaburan Malaysia-UK, menghadiri mesyuarat tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), merasmikan pejabat Khazanah Europe Investment Limi­ted (KEIL) dan melancarkan projek Legacy 1 Embassy Garden di London.
“Pameran pelaburan Malaysia-UK itu bertujuan meningkatkan sinergi pelaburan dua hala antara kedua-dua negara serta mengenal pasti peluang kerjasama bagi syarikat perniagaan Malaysia dan UK,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, Najib juga dijadualkan menerima kunjungan daripada Setiausaha Agung Komanwel baru dilantik, Patricia Scotland yang dijangka membincangkan mengenai kepentingan peranan Malaysia dalam pertubuhan itu.
“Walaupun Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hanya singgah di London ketika dalam perjalanan ke Sochi, beberapa program penting yang dihadiri beliau menunjukkan kepentingan lawatan ini,” katanya.
Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba lewat malam ini (waktu tempatan).

Najib juga dijangka menghadiri majlis makan malam anjuran Datuk Bandar Daerah Kewangan London, Lord Mountevans bersama beberapa kenamaan dari Malaysia dan UK.

Ahmad Rashidi berkata, hubu­ngan antara Malaysia dan UK termasuk antara kerajaan dan perniagaan adalah amat kukuh yang mana dalam sektor hartanah, syarikat Malaysia adalah pelabur kedua terbesar di negara ini dalam bidang tersebut selepas Amerika Syarikat.

Katanya, mengikut rekod terdapat lebih 70,000 rakyat Malaysia telah bermastautin di UK dengan 17,500 daripadanya adalah para pelajar yang mengikuti pengajian di negara itu.

“Hubungan dalam bidang pendidikan sangat kuat antara kedua-dua negara dan setakat ini ada lima buah universiti dari UK telah membuka kampus cawangannya di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata, usaha kini sedang dilakukan bagi menarik lebih ramai para pelajar dari UK untuk menyambung pengajian di Malaysia di sam­ping menarik lebih banyak syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) memindahkan pengetahuan dan teknologi. – UTUSAN