Thursday, May 16, 2013

AMBIL TINDAKKAN SEGERA

Gambar: Sebahagian wakil NGO membuat bantahan berhubung perhimpunan haram anjuran Anwar Ibrahim selepas membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 15 Mei - Kerajaan khususnya polis digesa bertindak tegas terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghentikan keghairahannya meneruskan perhimpunan haram kerana dikhuatiri boleh menimbulkan malapetaka bagi rakyat dan negara.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, sudah tiba masanya Ketua Pembangkang yang cuba mengapi-apikan penyokongnya ditahan sebagai langkah pencegahan awal daripada menjadi tidak terkawal dan menggugat keselamatan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Terengganu, memberitahu, tindakan tegas itu penting bagi memastikan keamanan serta ketenteraman di negara ini terus kekal dengan rakyat berbilang kaum hidup aman.

Malah, katanya, tindakan seumpama itu juga dianggap rasional memandangkan pihak berkuasa Singapura turut menangkap mereka terlibat dalam demonstrasi serupa yang diadakan di republik berkenaan baru-baru ini.

"Kita harap kesalahan mereka boleh dikaitkan dengan hukuman kesalahan pada Seksyen 9(5) APA 2012, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mengetuai kumpulan yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan haram itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Kumpulan itu disertai wakil-wakil daripada TIBAI, Perkasa, Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida) serta kelab motosikal, Terengganu '71 Club.

Yang turut hadir, Pengerusi Pekida Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Shukri Abdullah dan Presiden Terengganu '71 Club, Mohd. Rifat Che Azmy.