Sejak mutakhir ini sinar perpaduan dan keharmonian kaum di negara kita makin suram dan kelam. Setelah sekian lama kita mempertahankan keamanan negara dan keharmonian kaum pelbagai etnik dan bangsa, hari ini terdapat segelintir manusia yang iri hati dengan perpaduan yang telah kita bina sejak awal kemerdekaan negara. Ada saja konflik perkauman yang cuba ditimbulkan oleh segolongan manusia untuk kepentingan "survival" politik mereka.
Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa, kaum dan agama, toleransi sangat penting dalam kehidupan bagi menjamin kelangsungan sesebuah negara terus aman dan sejahtera. Toleransi bererti menghormati dan belajar dari orang lain, menghargai perbedaan, merapatkan jurang budaya , sehingga tercapainya sikap yang ideal.
Sewajarnya kita merenung kembali, pahit getir pejalanan negara kita dalam usaha menyemai benih perpaduan. Inilah antara saripati kandungan ucapan perutusan Hari Malaysia yang disampaikan oleh presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Bagi Datuk Seri Liow, kejayaan Malaysia hari ini bukanlah bergolek terus keriba, ada harga dan nilai yang telah dibayar oleh generasi kita terdahulu. Oleh itu seharusnya kita menghargai usaha murni mereka dengan meneruskan kejayaan ini dengan gemilang.
Menurut beliau, kita mesti tegas dalam menangani anasir-anasir yang cuba mengeruhkan hubungan baik rakyat Malaysia yang telah lama sedia terjalin. Rakyat Malaysia perlu menolak sikap ketidaktolerasi, ekstrimisme dan perselisihan yang mengundang rasa tidak hormat antara kaum.
Sudah tentulah pemimpin yang mempunyai sikap toleransi tinggi seperti Datuk Seri Liow mempunyai pandangan yang jauh dan mahu melihat semua kaum di Malaysia hidup aman dan sejahtera. Baginya kemakmuran dan kekayaan negara wajar dikongsi bersama-sama.
Dibawah penulis sertakan perutusan Datuk Seri Tiong Lai sempena menyambut Hari Malaysia.
Pada Hari Malaysia ini, marilah mengimbau masa silam untuk mendalami perjalanan negara kita dan kemajuan yang telah dicapai.
Sesungguhnya, kita seharusnya berbangga sebagai rakyat sebuah negara yang kian berkembang maju. Sejak penubuhan Malaysia beberapa dekad yang lalu, negara telah menempa kejayaan dan kemajuan di peringkat antarabangsa, baik bagi sektor perdagangan dan diplomasi mahupun di arena sukan dan kebudayaan.
Warga Malaysia tanpa mengira lapisan umur, bangsa dan agama telah sama-sama bekerja keras dan banyak berkorban untuk mengecapi segala kejayaan ini, bukan sahaja sebagai individu malahan sebagai sebuah negara. Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat hidup dalam keadaan yang begitu harmoni. Kepelbagaian warisan budaya kita merupakan aset yang ternyata bernilai, lebih-lebih lagi semasa keutuhan budaya kita kini diuji.
Tidak dapat dinafikan bahawa tatkala kita berusaha untuk mencapai status negara maju dan seiring dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda, masih terdapat banyak yang perlu dilakukan. Kini, di saat negara kita berada di persimpangan, kita seharusnya lebih tegas dalam menetapkan pendirian menentang ketidaktoleransi dan ekstrimisme dan juga sebarang perselisihan serta sikap tidak hormat.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing dalam membentuk masa depan negara. Peranan ini antaranya termasuk saling bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain, berbuat kebaikan dan bertimbang-rasa terhadap semua kepercayaan dan budaya dan seterusnya, saling bekerjasama tanpa mengambil kira apa jua perbezaan antara kita.
Demi kebaikan bersama rakyat dan negara, kita harus mengetepikan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan rakyat. Warga Malaysia dari segenap lapisan masyarakat harus mengatasi segala cabaran ini untuk terus maju ke hadapan sebagai rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu.
Selamat Hari Malaysia.
Datuk Seri Liow Tiong Lai
No comments:
Post a Comment