Mohd. Fadzil Kemi
Menurut Mohd. Fadzil, surat pemecatan itu diterimanya pada Jumaat lalu.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pemecatan itu sebaliknya menegaskan supaya menunggu penjelasan daripada peguam.


“Tunggu komen peguam. Tiada komen lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus memaklumkan, Mohd. Fadzil yang merupakan pegawai gred S41 sudah diberhentikan kerja berkuat kuasa Jumaat lalu.


Menurut beliau, notis pemberhentian perkhidmatan itu dihantar menerusi tangan dengan bayaran sebulan gaji menggantikan notis selaras dengan Fasal 9 perjanjian kontrak bagi jawatan berkenaan.


Tambahnya, dalam tempoh perjanjian kon­trak setahun yang ditandatangani pada 12 Disember tahun lalu, mana-mana pihak boleh menamatkan kontrak tersebut tanpa sebarang alasan.

Pemecatan Mohd. Fadzil itu dilihat sebagai langkah drastik DAP yang seolah-olah mahu menghukum ahli Pas di negeri ini berikutan keputusan Muktamar Pas baru-baru ini meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama yang menggesa parti itu dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.


Tindakan itu juga dilihat sebagai tekanan berterusan DAP terhadap Pas selepas desakan Setiausaha Agungnya yang belum disahkan jawatan yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya Pas mengarahkan ahli-ahlinya di negeri ini meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri tidak diendahkan.


Dalam pada itu, Mohd. Fadzil yang juga Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP) turut enggan mengulas sama ada pemecatannya merupakan tindakan yang wajar daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang.


Malah, beliau juga enggan menjawab ketika ditanya sama ada kes pemecatannya itu sudah dirujuk kepada Pas Pusat atau sebaliknya.