Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh membantu untuk membina masjid di kampung tersebut.


“Mereka juga bagaikan mahu menafikan lebih 24,000 masjid yang telah dibina Kerajaan Persekutuan di seluruh negara apabila menyatakan kesanggupan membina sebuah masjid di negeri ini.


“Kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada umat Islam jika Pas atau ahli jawatankuasa masjid itu sanggup menerima sumbangan tersebut. Pada masa sama, kita kena teliti betul sumber yang mahu digunakan itu, halal ataupun tidak,” katanya selepas menutup Kolokium Pembangunan Islam di Malaysia di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan DAP untuk membina sebuah masjid di Pasir Tumboh, Gua Musang selepas masjid sedia ada rosak akibat bencana banjir pada Disember tahun lalu.


Sementara itu, Pengerusi Biro Agama UMNO negeri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sumber dana yang disalurkan oleh parti politik itu perlu diragui kerana sumber yang haram tidak boleh digunakan untuk pembinaan masjid.


“Mengikut pandangan ulama-ulama daripada empat mazhab, kita boleh menggunakan peruntukan yang tidak diketahui sumbernya untuk kemaslahatan awam kecuali masjid.
“Pada saya, bukan sahaja tindakan itu sebagai satu penghinaan tetapi pada masa sama boleh jatuh hukum yang bertentangan dengan Islam.


“Jika dana yang digunakan itu bukan daripada sumber haram seperti judi namun menjadi penghinaan kepada umat Islam kerana seolah-olah kita tidak boleh membantu membina masjid,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Tabung Ihsan Pemulihan Masjid Banjir Kelantan memberitahu, sehingga awal bulan lalu pihaknya telah membaik pulih 268 buah masjid dan madrasah yang terjejas akibat bencana bah kuning pada penghujung tahun lalu.


“Setakat ini, sebanyak RM4.3 juta telah digunakan daripada sumbangan tabung tersebut untuk membaik pulih 98 buah masjid dan 170 madrasah yang rosak di seluruh negeri.
“Ini usaha yang dibuat UMNO negeri bagi membantu pihak pengurusan masjid dan madrasah yang terjejas. Jika ada masjid atau madrasah yang mengalami kerosakan akibat bencana lalu, bolehlah melaporkan keperluan mereka kepada kami untuk menyalurkan bantuan,” ujarnya.