Tuesday, January 6, 2015

KOMUNIS 3 - Komunis bertindak


Selepas meletakkan senjata dan menanggalkan uniform, PKM mengalihkan perhatian dengan menaja penubuhan kesatuan sekerja. Dalam tempoh singkat muncul papan tanda Inggeris dan Cina berhuruf kuning di atas latar merah yang mengisytiharkan berbagai-bagai jenis persatuan sekerja di semua bandar.

Mengesyaki muslihat PKM, Cawangan Khas (SB) polis mengawsi rapi kegiatan persatuan-persatuan ini. Antara anggota Cawangan Khas yang paling setia adalah orang Cina anti-komunis. 

Mereka lebih mudah menyusup masuk ke dalam pertubuhan komunis dan unit-unit gerila bagi mengumpul maklumat mengenai kegiatan serta rancangan mereka untuk melancarkan gerakan bersenjata.



Semua ini berlaku ketika British rancak merancang penubuhan Malayan Union yang langsung tidak diendahkan oleh komunis. Apabila Malayan Union diisytiharkan, kegiatan mereka tertumpu kepada mengiatkan kesatuan sekerja mereka. 

Bagaimanapun, apabila orang Melayu mendesak agar perlembagaan Malayan Union dikaji semula, pihak komunis menyertai Majlis Tindakan Bersama Se-Malaya (All Malaya Council of Joint Action) yang dianggotai pertubuhan politik dan badan bukan kerajaan (NGO). 

Majlis ini ditubuhkan bagi mengambil bahagian dalam membentuk perlembagaan negara sebagai persediaan untuk kemerdekaan. Malayan Union mungkin telah memberi taraf kerakyatan kepada anggota komunis dan hak kepada mereka untuk menyertai politik negara. 

Bagaimanapun, selepas British mengugurkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, orang bukan Melayu tidak lagi berhak menjadi warganegara secara automatik dan tanpa had.

Hanya kategori tertentu orang bukan Melayu sahaja yang layak menjadi warganegara. Tanpa hak kerakyatan, kebanyakan orang Cina ditegah menyertai politik lantas mereka menentang Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa yang sama, kesatuan sekerja pimpinan komunis menganjurkan mogok dan melakukan peras ugut secara besar-besaran. 

Kadar pengangguran amat tinggi dan perniagaan dalam keadaan tenat selepas perang berakhir. Ramai orang Cina hilang keyakinan kepada British dalam menangani gerakan komunis.

Akhirnya mereka tunduk kepada peras ugut komunis atas kepercayaan bekalan makanan dan keselamatan mereka adalah terjamin. Bagi orang Melayu pula, mereka enggan menyertai komunis walaupun sudah hilang keyakinan kepada British melainkan beberapa kerat sahaja.




No comments:

Post a Comment