Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara tersebut tidak boleh diulas panjang kerana UMNO telah bersetuju supaya ada jurucakap yang dilantik untuk membicarakan perkara berkenaan kepada umum.

"Kita memang amat setuju supaya hudud dijadikan sebagai undang-undang yang diluluskan kerana ia adalah hukum Allah, jadi kita sememangnya memberi sokongan (terhadap hudud).

"Tiada persoalan bahawa kita menentang hukum Allah, cuma cara pelaksanaannya perlu ditingkatkan lagi. Pendirian kita selaku pimpinan yang ada adalah bersetuju dengan suara yang diberikan oleh wakil UMNO di Kelantan," katanya dalam sidang akhbar sini hari ini.
Semalam Kelantan mencipta sejarah sekali lagi apabila pindaan kepada Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan sebulat suara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Ini merupakan kali kedua rang undang-undang yang lebih dikenali dengan hukum hudud itu diluluskan di Dewan tersebut selepas kali pertama dibawa pada 1993.

Kesemua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu 31 daripada Pas, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir ketika ia diluluskan.
Keputusan itu juga menunjukkan kesepakatan kesemua ADUN yang beragama Islam biarpun berbeza fahaman politik untuk meluluskan hukum Allah itu biarpun ada di antaranya terpaksa dipapah untuk datang ke sidang DUN dan dihalang oleh partinya sendiri.

ADUN Guchil, Roslan Puteh daripada PKR paling menarik perhatian apabila tetap hadir walaupun diarah supaya tidak berbuat demikian oleh kepimpinan tertinggi parti itu.