Friday, January 30, 2015

ZAMAN KEGELAPAN UMAT ISLAM



Sungguh amat sedih dan memedihkan sekali,....
Hari ini, mereka yang mendakwa negara mereka sebagai negara Islam dengan penduduk yang seratus-peratus Islam pun tidak berhenti-henti "meminta-minta" dari orang lain untuk menjaga keselamatan orang Islam.
Termasuklah mereka yang pernah mengkafirkan sesama Islam.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah melengkap dan menyempurnakan agama Islam melalui Nabi terakhir Junjungan kita Muhammad s.a.w. Ada mereka yang berpendapat bahawa oleh sebab agama Islam serta peraturan-peraturannya telah lengkap, yang perlu ialah dilaksanakan sahaja segala ajaran Islam sebagaimana dibuat oleh Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. tanpa lain-lain pertimbangan lagi. 

Pendapat ini adalah pendapat yang tidak berasas kepada fahaman yang mendalam terhadap strategi bagi mengamal dan mengembangkan agama Islam dalam keadaan dan suasana tertentu. Bagi menjelaskan perkara ini cuba kita tinjau umat Islam yang hidup sebagai golongan minoriti yang kecil di negara-negara yang diperintah oleh bukan Islam.

 Pemerintahan bukan Islam ini tidak mengizinkan undang-undang Islam dilaksana dan dikuatkuasakan walaupun di kalangan golongan minoriti Islam sahaja, jauh sekali dari menjadi amalan negara tersebut.

Apakah ini bermakna bahawa semua golongan minoriti Islam di negara-negara bukan Islam itu tidak Islam, atau tidak mahu mematuhi ajaran Islam, atau kurang Islam? Sebenarnya mereka adalah Islam dan perbuatan mereka adalah perbuatan yang diizinkan oleh Islam dalam keadaan darurat yang mereka hadapi.

 Umat Islam sekarang sedang berada di dunia yang sebahagian besar penduduknya ialah bukan Islam. Sementara di zaman keagungan Islam, orang Islam memiliki segala pengetahuan dan menguasai dunia baik dari segi ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik.


 Di zaman kita ini, kerana kelalaian orang Islam sendiri, ekonomi, pengetahuan, ketenteraan dan politik dunia dikuasai oleh orang bukan Islam.

 Hendak tak hendak orang Islam terpaksa "meminta-minta" daripada orang bukan Islam dalam hampir semua bidang, selain dari bidang rohaniah. Oleh kerana ini, walaupun orang Islam berjumlah 1 bilion, mereka menjadi "minoriti" yang lemah di dunia. Kita tidak dapat bersaing, jauh sekali menandingi orang bukan Islam dalam bidang ekonomi, pengetahuan, ketenteraan atau politik.

 Mereka yang mendakwa negara mereka sebagai negara Islam dengan penduduk yang seratus-peratus Islam pun tidak berhenti-henti "meminta-minta" dari orang lain untuk menjaga keselamatan orang Islam.

No comments:

Post a Comment