Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan wujud pengundian awal seperti yang didakwa beberapa pihak termasuk tersebar luas di laman sosial sejak semalam.
Setiausahanya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, SPR telah mengesan wujudnya cubaan pihak-pihak tertentu menyebarkan maklumat mengenai proses pengundian awal membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia.
Menurutnya, dakwaan itu tidak benar kerana kertas undi yang sedang diedar pihaknya adalah kertas undi pos, bukannya undi awal.
"Itu tidak benar. Undi awal hanya akan dilakukan pada 30 April dan penerima kertas undi sekarang adalah mereka yang mengundi secara pos.
"Dakwaan tersebut boleh mengelirukan rakyat mengenai tarikh sebenar pengundian awal. Kertas undi pos itu sudah diedarkan bermula 22 April lalu kepada pengundi luar negara serta mereka yang akan bertugas pada hari mengundi biasa," katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Katanya, kertas undi tersebut perlu dikembalikan kepasa SPR sebelum jam 5 petang, 5 Mei.
"Sehubungan dengan penyebaran maklumat tersebut, SPR telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pagi tadi bagi menyiasat perkara tersebut.
"SPR juga menafikan semua dakwaan yang dinyatakan menerusi laman sosial facebook semalam sama ada pengundian awal, SPR terlibat dengan merakam gambar kertas undi dan juga dikatakan gagal melantik ejen calon atau wakil calon bagi menyaksikan proses pengundian," katanya.
Katanya, di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan (Pindaan 1997) yang menyatakan sesiapa sahaja melalui perkataan secara lisan atau bertulis atau dalam sebarang bentuk seperti akhbar, buku ataupun cetakan, penerbitan atau maksud lain termasuk menyebarkan laporan palsu atau mengadakan kenyataan palsu dengan sengaja untuk menyebabkan kekecohan awam, boleh dipenjara sehingga lima tahun.
Ditanya apakah tindakan yang akan diambil kepada penyebar maklumat dan gambar di laman sosial, Kamaruddin mahu perkara itu disiasat terlebih dahulu.
"Kita biarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu," katanya.
Katanya, selain undi awal, dakwaan tersebut juga menyebut SPR gagal dalam mengawal pergerakan kertas undi awal sedangkan pada masa ini, kertas undi pos yang telah diedarkan, bukannya kertas undi awal.
"Bagi undi pos, SPR tidak mempunyai hak untuk mengawal, ia terpulang kepada pengundi untuk melakukan apa sahaja kepada kertas undi tersebut termasuk menunjukkan kertas tersebut kepada kawan atau ahli keluarga.
"Cuma yang menjadi kesalahan menyebarkannya di laman sosial. SPR juga menafikan gambar yang tersiar di laman sosial adalah daripada pihak SPR," katanya.
No comments:
Post a Comment