Saturday, January 31, 2015

NEGARA ISLAM TELAH LAMA TERPERANGKAP

 Kita sedar bahawa sistem politik dan ekonomi Barat tidak sama dengan cara Islam. Sebaliknya, untuk menjaga kepentingan Islam, Islam mengizinkan kita mengambil tindakan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam walaupun tidak berasal dari sistem Islam. Dalam keadaan darurat kita diharuskan "flexibility" yang lebih luas lagi. Dan bagi ramai dari kita, keadaan adalah cemas dan merupakan darurat.

 Sistem kewangan dunia yang digunakan sekarang yang bergantung bukan sahaja kepada penggunaan emas dan perak, tetapi wang kertas dan cek bukanlah dari sistem Islam. Dari sistem ini telah wujud sistem bank, penukaran wang, surat-janji, pengadilan janji-janji perdagangan, pelaburan, ekspot impot, insuran dan lain-lain lagi. Sistem ini menguasai seluruh dunia sehingga kita tidak dapat tidak mesti menggunakannya. Kita juga tidak dapat mengasingkan diri dari dunia bukan Islam. Apakah dapat kita mengeluarkan minyak dan lain-lain bahan tetapi tidak menjual kepada orang bukan Islam. Sebaliknya jika kita tidak memperdulikan kekayaan yang dikurniakan Allah dan ingin hidup seperti zaman purba, kebolehan kita mempertahankan diri jika diancam oleh musuh dari dunia luar adalah tipis sekali. Kita mungkin kalah dan akan ditakluk.

Menerima dan mengamalkan sistem lain sedangkan Islam mempunyai sistemnya sendiri mungkin menjadikan kita seolah-olah tidak menghiraukan ajaran Islam. Tetapi sepertimana Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah, iaitu berundur untuk menyelamatkan Islam untuk masa depan, tidaklah juga salah jika kita pada hakikatnya membuat perbuatan yang sama kerana hendak menyelamatkan diri kita dan menyediakan diri untuk kemenangan kemudian.

 Cuba kita kajikan hakikat yang sebenar. Di mana-mana juga dalam dunia Islam, bank dan sistem bank barat wujud. Dalam keadaan yang mana wang yang banyak didapati oleh negara Islam sebagai pendapatan daripada sumber minyak, masalah pengurusan wang yang bertimbun-timbun ini telah menjadi masalah yang besar. Tidak semua benda boleh dibeli dengan wang yang banyak ini sama ada di dalam negeri sendiri ataupun dari negeri-negeri Islam yang lain. Jika wang yang banyak ini dibelanjakan untuk membeli barang dari negara barat, maka baratlah yang akhirnya mendapat keuntungan daripada pengeluaran minyak di negara-negara Islam. Sebenarnya sebahagian besar hasil daripada kekayaan minyak adalah digunakan untuk membeli "sejuta satu" barang dan alat kelengkapan dari barat yang memberi keuntungan besar kepada mereka. Tetapi, bakinya masih banyak lagi.

Jika wang ini disimpan sahaja, nilainya tetap akan merosot kerana inflasi yang teruk yang melanda dunia termasuk negara-negara pengeluar minyak. Ada mereka yang menyimpan wang ini tanpa menerima faedah. Tetapi semua tempat simpanan wang, sama ada bank atau institusi lain menggunakan wang yang disimpan dengan mereka untuk diberi sebagai pinjaman dengan faedah. Akibatnya sementara individu Islam tidak menerima faedah sendiri, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dari faedah dapat kepada orang yang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank kepunyaan orang Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah diguna untuk kepentingan Israel.

Untuk mengurus wang yang berbillion- billion ringgit, tak mungkin wang tunai, sama ada wang kertas, atau emas, atau perak digunakan. Cek-cek dan lain-lain surat janji terpaksalah diguna. Semua ini adalah sebahagian dari sistem bank barat. Oleh kerana itu bank-bank tumbuh seperti cendawan di negara Islam terutamanya semenjak zaman minyak mahal. Sebenarnya perniagaan bank merupakan salah satu perniagaan yang terbesar sekali dalam dunia Islam kerana orang Islam tidak mempunyai teknoloji dan pengetahuan yang secukupnya dalam bidang pembuatan barang-barang dan lain-lain bidang perusahaan dan perniagaan.

 Adalah jelas sekali bahawa setengah-setengah negara Islam terperangkap dengan kekayaan mereka sendiri. Tetapi wujudnya terlalu banyak perniagaan bank bukanlah sesuatu yang patut diterima baik oleh orang Islam. Kita cuma dapat menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang sementara sahaja. Tetapi sebelum kita dapat berpindah kepada aktiviti ekonomi yang diizinkan oleh Islam, kita perlulah menguasai segala pengetahuan dalam bidang ini. Jika kita secara buta tuli cuba mencebur diri dalam bidang yang kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup, kita akan ditipu sepertimana negara Islam telah ditipu selama hampir 100 tahun untuk menjual minyak dengan harga yang amat murah. Kita boleh menyalahkan orang yang menipu kita tetapi kita tidak boleh melepaskan diri kita sendiri daripada perbuatan tidak menghiraukan anjuran agama Islam supaya kita menuntut ilmu. Kerana tidak ada ilmulah kita tidak dapat mengeluarkan minyak yang ada dibumi kita dan tidak tahu menapis dan memasarnya. Kerana tidak ada ilmulah, kita tidak dapat mengadakan perniagaan dan perusahaan yang sesuai bagi kepentingan kita. Kesalahan adalah pada diri kita, terutamanya mereka yang sengaja menghalang penguasaan ilmu oleh kita.

No comments:

Post a Comment