Thursday, January 1, 2015

PENEROKAAN BALAK SECARA HARAM ANTARA PUNCA


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memerlukan bantuan semua pihak, khususnya Kerajaan Pusat dalam usaha memulih dan membangunkan semula beberapa lokasi di negeri ini yang musnah akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau telah meneliti sendiri situasi di tempat yang agak parah seperti di Kuala Krai dan mendapati ia amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan.

"Bencana banjir besar ini juga perlu diteliti dari sudut pengajaran dan hikmah bagi meneguhkan akidah dan iman kita sebagai umat Islam," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi emel kepada Sinar Harian.

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad menolak dakwaan banjir dahsyat yang berlaku tahun ini disebabkan pembalakan tidak terkawal.
"Apabila saya mendengar beberapa pihak termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ada menyifatkan banjir di Kelantan disebabkan pembalakan tidak terkawal, ia perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak Kerajaan Negeri.

Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yang diluluskan Majlis Tanah Negara, malah pengurusan hutan di Kelantan telah diberi pensijilan MC&I SFM oleh badan bebas antarabangsa manakala pembukaan kawasan untuk projek TLC semuanya perlu lulus EIA sebelum projek dimulakan," tegasnya.

Menurut Ahmad, pembalakan tidak terkawal mungkin berlaku disebabkan penerokaan haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kerajaan (negeri) akan melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas dan efektif dalam hal ini (penerokaan haram).

"Perlu diketahui insiden banjir boleh berlaku dengan beberapa faktor lain seperti fenomena limpahan air hujan berlebihan sebagaimana yang dilaporkan Jabatan Meteorologi dan hal ini berlaku hampir di semua negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menyalur bekalan kepada mangsa di negeri ini.