Friday, December 26, 2014

MALAYAN UNION 4 - British menekan Raja-raja Melayu


Willan menulis mengenai semua temu ramahnya dan membuat cadangan bagaimana British perlu bertindak ke atas raja-raja yang degil.
Beliau mencadangkan sultan mana yang perlu dahulukan dalam mendapat tandatangan. Pertama dalam senarai ialah Sultan Johor, diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Keempat-empat sultan ini menandatanganinya, Willan yakin Sultan Perak tidak akan menolak.
Selepas memperoleh tandatangan Sultan Johor dan Raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu, barulah MacMichael ke Kedah dan negeri-negeri lain di utara Semenanjung. Kedah dijangka memberi sedikit tentangan kerana baginda terikat untuk berunding dengan majlis negeri. Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Sheriff Awang Osman yang rapat dengan baginda dan dianggap boleh menjadi batu penghalang, mesti dipujuk terlebih dahulu.
British percaya inilah sebaik-baik cara untuk mendapat persetujuan baginda. Tidak ada masalah dijangka berlaku di Perlis, Terengganu dan Kelantan kerana semua sultan menaiki tahta pada zaman pemerintahan Jepun dan terpaksa bergantung kepada pengiktirafan British untuk megekalkan kedudukan mereka.
Berikutan laporan Willan, MacMachael dihantar ke Tanah Melayu pada bulan berikutnya. Menjelang waktu itu, rakyat Tanah Melayu mendengar rancangan Malayan Union dan mereka marah walaupun tidak tahu kandungan cadangan itu.
Disebabkan kekurangan maklumat yang sahih, mereka mengagak British mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan dan memberikan kerakyatan kepada semua penduduk.
Orang Melayu sedar kedudukan mereka yang miskin, kurang pendidikan dan tidak banyak terbabit dalam kegiatan ekonomi negara yang meguntungkan. Mereka bimbang akan menjadi strata terkebawah dan serba kekurangan dalam mayarakat Tanah Melayu.
Apabila laporan dan berita keazaman British melaksanakan Malayan Union semakin merebak, keyakinan rakyat terhadap raja-raja mereka mula terhakis. Mereka tidak mahu dipisahkan datipada politik.
Walaupun sikap mereka boleh dianggap derhaka, mereka berpendapat raja-raja mereka tidak berdaya menangkis tekanan British.
Idea awal perpaduan Melayu mula tersebar ke semua negeri di Tanah Melayu, tetapi mereka tidak yakin dapat menghalang rancangan British.
Seruan agar Melayu berfikir sebagai rakyat Tanah Melayu dan bukan rakyat jelata raja pelbagai negeri menjadi semakin lantang dan keras.
Akhbar tempatan mula mempopularkan idea perpduan Melayu dan mengesyorkan penubuhan sebuah badan tunggal bagi newakili semua orang Melayu.
Mereka juga cemburu dengan Indonesia kerana mempunyai seorang pemimpin karismatik, iaitu Sukarno sehingga ada yang memikir akan gabungan kedua-dua negara. Namun mejoriti orang Melayu percaya jika mereka berjaya menubuhkan sebuah badan tunggal untuk orang Melayu, seorang pemimpin akan muncul.
Bersambung......

No comments:

Post a Comment