Wednesday, November 20, 2013

Pengikut Tuhan Harun Disoal...



KUANTAN – Sembilan pengikut Ajaran Harun tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian Ketua Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abd Malek.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff  berkata, dua daripada mereka telah dikeluarkan waran tangkap menerusi mahkamah syariah.

"Sehingga kini polis masih memerlukan 22 orang daripada 31 keseluruhan pengikut Ajaran Harun untuk diambil keterangan.

“Sebanyak tujuh waran tangkap dikeluarkan kepada individu berkaitan supaya segera tampil untuk dirakamkan keterangan, manakala selebihnya kita masih menunggu mereka tampil," katanya di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) di sini, semalam.

Menurutnya,  kes berkenaan masih dalam siasatan menjurus semua aspek.

"Kami harap supaya diberi masa menyiasat dengan terperinci.

“Bagaimanapun, kami yakin sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jasmani berkata pihak polis menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keselamatan di sekitar kawasan perumahan.

“Kita melakukan peningkatan (kerjasama) dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan di kawasan taman atau perumahan.

“Terbaru kita membuat rondaan bersama tentera dan pelbagai agensi lain termasuk Rukun Tetangga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis mengeluarkan amaran kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko dilanda banjir supaya membuat persiapan lebih awal.

“Kita sudah menubuhkan pasukan khas sebagai persiapan musim banjir dan tempat-tempat pemindahan juga sudah dikenal pasti,” katanya.

No comments:

Post a Comment