Pengarah Urusan SPNB, Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, sehubungan itu, kesemua kontraktor terbabit akan dipanggil untuk diberikan penerangan tentang perkembangan semasa industri perumahan negara yang semakin pesat berkembang.
''Kita akan memutihkan kontraktor berkenaan termasuk menubuhkan pasukan khas antara SPNB dengan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) supaya nasib kontraktor berkenaan terus dibela.
''SPNB merancang memberikan latihan dan peluang kepada sesemua kontraktor selaras dengan cadangan pembinaan 10,000 buah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) yang akan dibina pada tahun ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan perjumpaan dengan delegasi PERKOBF di pejabatnya di sini hari ini.
Di bawah pendekatan itu, kata beliau, pihak kontraktor akan dapat membuktikan keupayaan mereka mengikut syarat-syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh SPNB dalam membekalkan rumah berkualiti dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pemohon.
''Bukan (menjadi) hasrat kita, mereka yang disenarai hitam (akan) dibuang terus tetapi tindakan kita selepas ini bersama-sama dengan persatuan kontraktor adalah untuk memutihkannya.
''Kita akan cuba untuk meneruskan projek dan mungkin akan menambah kerja-kerja lain yang bersesuaian (untuk mereka),'' kata beliau.
Kamarul mengulas tentang isu peningkatan kontraktor bumiputera Kelas F yang disenarai hitam oleh SPNB apabila bilangannya kini meningkat lebih enam kali ganda kepada 888 kontraktor berbanding hanya 120 pada tahun 2011.
Jumlah itu dilihat sebagai membimbangkan kerana hampir kesemua mereka terdiri daripada kontraktor yang baharu menceburi bidang berkenaan dan dikategorikan sebagai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kamarul menjelaskan, kontraktor-kontraktor berkenaan terpaksa disenarai hitam selepas projek yang dijalankan terbengkalai meskipun SPNB telah memberi banyak kelonggaran termasuk lanjutan tempoh.
Sementara itu, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion berkata, pihaknya berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil dan persetujuan SPNB untuk mengatasi kelemahan kontraktor-kontraktor tersebut.
Tukiman berkata, perjumpaan itu secara tidak langsung dapat menjelaskan bahawa SPNB mengambil berat di atas kebajikan seluruh kontraktor kelas F yang terlibat dengan pembinaan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia.
Beliau menambah, usaha yang bakal dilakukan oleh SPNB itu, akan mewujudkan persefahaman dan keadaan 'menang-menang' antara kedua-dua belah pihak.
No comments:
Post a Comment