Monday, July 1, 2013

GST - KERAJAAN BELUM ADA KEPUTUSAN

Kerajaan belum memutuskan sebarang keputusan berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

Katanya kerajaan kini sedang melaksanakan kajian mengenai GST berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan harga semasa, berbanding kajian sebelum ini pada 2009.
"Oleh kerana terdapat perubahan kepada keadaan ekonomi dan harga, maka kajian semula perlu dilakukan. Sehubungan itu, kerajaan belum lagi menetapkan bila GST akan dilaksanakan," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, sambil mengambil kesempatan merungkai persoalan mengenai kesan pelaksanaan GST kepada golongan berpendapatan rendah.

"Berdasarkan kajian yang dibuat, jika GST dilaksanakan, kita berpendapat barangan keperluan asas wajar dikenakan GST pada kadar sifar yang mana barangan ini banyak digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan swasta, pengangkutan awam, tol dan rumah kediaman juga dikategorikan sebagai bekalan yang dikecualikan, yang bermaksud GST tidak dikenakan pada peringkat akhir pembekalan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 160 daripadanya telah melaksanakan GST.
"Tentunya kerajaan mahu sistem cukai terbaik dalam mengurus kewangan, iaitu meningkatkan hasil yang akan membolehkan peningkatan pendapatan negara untuk kepentingan pengguna dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Ahmad Husni berkata, sejak 2010 hingga Jun 2013, 4,667 program penerangan GST telah dilaksanakan, yang melibatkan lebih 202,000 peserta.
Ia melibatkan tiga kumpulan sasar utama iaitu kerajaan, industri dan pengguna.


No comments:

Post a Comment