Tuesday, July 2, 2013

DAP TAK USAH NAK MENYIBUK


Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Ta ib menolak saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Pas memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.


Beliau berpendapat, Pas tidak perlu memulaukan pilihan raya kecil itu sebaliknya wajar meletakkan calon dalam usaha merampas kerusi DUN berkenaan daripada Barisan Nasional (BN).

Harun menyifatkan saranan Guan Eng berhubung perkara itu hanya berdasarkan pandangan peribadi pemimpin DAP tersebut.

Beliau menegaskan, Pas mesti bersedia bersemuka dengan calon daripada parti lawan pada pilihan raya kecil itu kerana Pas tidak pernah memberikan kemenangan percuma kepada BN.

"Secara peribadi, Pas kena bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan saya tak fikir Pas akan boikot kerana dia (DAP) parti lain dan itu adalah pandangan dia (Guan Eng). Ikutkan saya, saya suka kita (Pas) lawan saja.
"Pas patut bertanding dan kita mesti lawan. Kita tidak pernah beri kemenangan percuma kepada BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Harun yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir diminta mengulas saranan Guan Eng supaya Pas memboikot pilihan raya kecil DUN Kuala Besut berikutan isu dakwat kekal yang didakwanya gagal ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Cadangan Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang itu di Kulaijaya, Johor semalam mengundang reaksi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa pihaknya akan meneliti cadangan tersebut.


Mustafa berkata, Pas akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.
Mengulas mengenai reaksi Mustafa itu, Harun bagaimanapun berkata, beliau tetap akan menyokong apa sahaja pendirian yang akan diputuskan oleh kepimpinan Pas.


"Sebagai ahli parti (Pas), saya tetap akur apa saja keputusan kepimpinan Pas, saya akan terima jika Pas berpendirian boikot (pilihan raya kecil DUN Kuala Besut)," tambahnya.