Sunday, January 20, 2013

KAFIRKAH AKU...??? (1)



DALAM SINARAN BULAN PURNAMA

Saya menyertai Pas awal 1985 ketika masih berkhidmat sebagai seorang guru. Walaupun belum lagi aktif, tetapi mula mengenali agak rapat dengan pimpinan Pas Kedah ketika itu, kerana saya berusaha menubuhkan badan penyokong Pas terdiri dari penjawat awam yang dikenali sebagai JPPP @ J3P (Jawatankuasa Pegawai Penyokong Pas). Saya adalah setiausahanya. Bila menyertai Pas, saya mulai membiasakan diri dengan memakai serban, seperti kebanyakan ahli-ahli Pas yang lain. Ramai di kalangan guru-guru yang cenderung pada Pas memakai serban. Pengetua dan PPD tak dapat buat apa-apa, sekadar keluar pekeliling etika berpakaian bagi guru.
Boleh kata, suara kami guru-guru yang sokong Pas didengari. Apa sahaja ko-kurikulum yang tidak sesuai dengan syariat, kami tentang atau boikot. Aktiviti sukan juga kami yang meletakkan garis panduan latihan. Pelajar lelaki dengan perempuan tak boleh bercampur dalam apa-apa latihan dan pelajar perempuan wajib menutup aurat. Kami juga berjaya membentuk usrah di kalangan pelajar. Pelajar dan waris secara jelas mengetahui kami dari parti mana. Bercakap tentang Pas dan Umno dalam kelas dan bilik guru telah lumrah bagi kami.
Pada tahun 1986 saya terpilih menjadi Ketua Pemuda dalam mesyuarat agung Pemuda Pas Kawasan Padang Terap. Sejak itulah saya benar-benar menumpukan perhatian kepada aktiviti Pas. Seluruh kehidupan saya berada dalam sinaran Bulan Purnama. Terlibat secara serius apa juga program anjuran sama ada dari Pas kawasan, negeri mahupun pusat.
Semangat pengorbanan terhadap parti dipupuk semahu-mahunya. Saya sanggup meninggalkan tugas untuk menghadiri program parti. Kerjaya sudah menjadi nombor dua dalam hidup masa itu. Semangat ini semakin berkobar-kobar lagi bila berlakunya peristiwa rampasan tanah milik Pas Kedah di Batu 14, Pokok Sena pada awal 1987 oleh Kerajaan Negeri Kedah yang ketika itu MBnya Datuk Paduka Osman Arof. Setelah berkali-kali rundingan antara kedua pihak tidak berhasil, maka Pas bertegas mempertahan tanah tersebut.
Sistem kawalan sepanjang masa yang melibatkan kawasan-kawasan seluruh Kedah di atur. Ahli-ahli Pas yang berdekatan telah jadikan muasasah itu sebagai rumahtangga mereka. Setengahnya berpesan pada isteri yang mereka turun dari rumah dengan niat untuk mati syahid di muasasah itu. Dewan Pemuda Pas kawasan Padang Terap ditugaskan menjaga keselamatan kerana tapak muasasah berada dalam kawasan parlimen Padang Terap (sekarang di bawah kawasan parlimen Pokok Sena). Selaku Ketua Pemuda kawasan, saya dilantik sebagai ketua keselamatan Muasasah, termasuk keselamatan pimpinan yang hadir di situ.
6
Ogos 1988, saya ambil keputusan berhenti mengajar tanpa maklum pada jabatan pendidikan hingga sekarang. Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ketika itu. Bila isteri merungut, saya katakan yang saya terpaksa berkorban untuk parti yang berjuang kerana Islam. Saya katakan juga kalau tidak kita, siapa lagi yang akan berjuang menegakkan hukum Allah. Keputusan saya adalah muktamad.
Sepanjang bersama Pas, saya telah melalui beberapa proses pembinaan jati diri ahli. Ketika itu penekanannya menjurus kepada kekuatan akidah. Sesuai dengan itu, terbentuklah tema-tema pada muktamar Pas seperti ‘Menggempur Pemikiran Assobiyyah’, ‘Meroboh Rangkaian Penindas’ dan ‘Bertindak Menentang Kezaliman’. Apa juga program ke arah motivasi dan ceramah ketika itu, menghuraikan sedalam-dalamnya maksud assobiyyah, taghut, munafik dan juga kezaliman. Ayat-ayat Quran dan hadis yang di ketengahkan juga semuanya berkait rapat dengan isu itu.

No comments:

Post a Comment