Sunday, January 20, 2013

BERTAUBATLAH ...!!!





HARON Din, pemimpin Pas menyuruh saya bertaubat kerana saya telah berkata dalam bahasa Inggeris Better the devil you know than the angel you don't".

Mungkin kerana Haron Din tidak mahir dengan loghat pepatah Inggeris maka ia fikir ini bermakna saya sanggup bersama dengan syaitan. Makna sebenarnya pepatah ini ialah "lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali".

Kalau Haron Din fikir saya bermaksud lebih baik saya bersama syaitan yang saya kenal daripada malaikat yang saya tidak kenal dan ini salah di sisi agama, maka dia bolehlah suruh saya bertaubat. Tak apalah.

Tetapi pada 24 Januari 1999, Nik Aziz berkata dengan jelas dalam bahasa Melayu yang saya yakin Haron Din tentu faham ia berbunyi seperti berikut, "siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA atau MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima".

Amat jelas dengan ini Nik Aziz sanggup terima pertolongan syaitan pun untuk kerajaan Islamnya.Demikian pendirian Nik Aziz kononnya begitu kuat perjuangannya untuk mendirikan kerajaan Islam? Apakah jenis kerajaan Islam yang dihasilkan daripada pertolongan syaitan,sama-sama kita fikirkan.

Haron Din nampaknya terima kerajaan Islam yang didirikan dengan pertolongan syaitan.Sebab itu Haron Din tidak menegur Nik Aziz, jauh sekali daripada menuntut suapa Nik Aziz bertaubat.Saya tidak akan bertaubat dengan salah faham serta ketidak upayaan untuk memahami Haron Din berkenaan apa yang telah saya katakan. Sepatutnya Haron Din meminta maaf daripada saya kerana salah fahamnya tentang apa yang diperkatakan dalam bahasa Inggeris. Dan saya akan memaafkannya kerana manusia memang lemah dan tidak pernah bebas daripada membuat kesalahan.

Orang Islam di Malaysia sebenarnya bernasib baik kerana kita semua mengikuti mazhab yang sama,iaitu mazhab Sunni daripada imam Shafie.Kita tidak sepatutnya berpecah seperti orang Islam di sesetengah negara Islam lain yang berpecah kepada Sunni dan Syiah dan sering bermusuhan dan berbunuhan sesama mereka.

Malangnya persahabatan dan perpaduan orang Melayu Islam di Malaysia ini ditamatkan apabila Pas ditubuhkan.Dalam keghairahan Pas untuk mendapat undi orang Melayu,mereka sengaja menyalah tafsir agama Islam dan membuat dakwaan bahawa mereka sahaja yang Islam sehingga orang Melayu berpecah dan bermusuhan sesama mereka.

Tuduhan yang pertama ialah orang UMNO kafir kerana mereka bekerjasama dengan orang kafir. Saya tidak percaya ada orang Melayu yang terima dakwaan ini. Ia tidak dibuat dengan cara yang mengikut kehendak agama Islam. Tetapi rupa-rupanya tuduhan ini begitu berkesan sehingga berlaku sembahyang dua imam kerana kononnya imam yang tidak sokong Pas kafir, perkahwinan semula orang Melayu yang berkahwin sebelum Pas ditubuhkan, tanah perkuburan berasingan bagi orang Pas kerana ibu bapa mereka sendiri yang dikebumikan di kubur lama dan orang UMNO tidak Islam, penolakan sembahyang jenazah orang UMNO dan perceraian serta perpecahan dalam keluarga kerana fahaman politik yang berbeza.

Kemudian Haji Hadi menokok tambah kepada perpecahan orang Melayu Islam dengan amanatnya. Haji Hadi mendakwa bahawa Pas menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO tetapi kerana kononnya mengekalkan perlembagaan penjajah,kerana kononnya UMNO mengatakan politik suku agama suku.

Sesungguhnya perlembagaan itulah memberi kebebasan bersuara,berparti dan berpolitik kepada Pas. Di kebanyakan negara yang diakui negara Islam tidak ada kebebasan seperti ini. Sepatutnya Pas menolak semua kebebasan ini.Tetapi sebaliknya Pas menggunakannya untuk memfitnah dan mengkafirkan orang UMNO. Islam menyuruh orang Islam setia kepada Allah,Rasul dan ulil amri,iaitu pemerintah, Pas sebenarnya tidak setia kepada ulil amri.

UMNO tidak pernah berkata politik suku agama suku. UMNO berpegang kepada ajaran bahawa Islam adalah Ad-deen,cara hidup.Cara hidup memang termasuk dalam politik. Sebab itu UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.Habbul wtan minnal iman.

Sebaliknya Pas sekarang menerima pemimpin kafir yang secara terbuka menolak negara Islam yang ingin dibawa Pas serta pemimpin Pakatan yang percaya kepada kebebasan tanpa had serta pluralisme dalam agama dan kebebasan keluar dari agama Islam.

Tetapi UMNO tidak akan tuduh orang Pas sudah menjadi kafir. Selagi tidak ada dakwaan oleh tokoh-tokoh Islam yang tidak berkepentingan,UMNO akan terima orang Pas sebagai orang Islam.Kita dalam UMNO masih ingin bersaudara dengan orang Pas seperti ditegaskan oleh agama Islam bahawa orang Islam itu bersaudara.Perbezaan politik antara UMNO dan Pas tidak bermakna pengasingan politik dari agama atau agama suku politik suku.Perbezaan politik di kalangan orang Islam berlaku di mana-mana sahaja.Namun mereka semua masih Islam.

Tanpa bertaubat kerana pelbagai kesalahannya di sisi Islam, Nik Aziz telah memurtadkan tiga juta orang UMNO.Dakwaan ini dibuat olehnya tanpa usul periksa. Tidak ada kajian dibuat,sama ada secara ilmiah atau tidak. Ketidakadilan Nik Aziz jauh berbeza daripada ajaran Islam yang menegaskan bahawa apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Hakim tidak boleh terdiri daripada orang yang terlibat dan berkepentingan. Memurtadkan orang UMNO adalah satu ketidakadilan di sisi agama Islam.

Tetapi, Alhamdulillah sudah ramai pemimpin serta ahli Pas yang sedar tentang kesalahan Pas dan pemimpinnya dari segi Islam. Mereka telah tidak lagi taksub dengan nama Islam yang telah diberi kepada parti Pas. Mereka sedar Pas bukan berjuang untuk Islam. Pas hanya ingin memperalatkan Islam untuk kepentingan politik duniawi pemimpin-pemimpinnya.

Mereka yang keluar dari Pas ini berpeluang untuk benar-benar berjuang untuk agama Islam, berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam yang sebenar, terutamanya untuk persaudaraan dalam Islam, tentang berpegang kepada tali Allah dan jangan bercrai-berai.

Saya tidak akan suruh Haron Din bertaubat. Tetapi Haron Din harus tanya hati kecilnya sama ada dia didorong oleh agama atau politik duniawi apabila menyuruh saya bertaubat dan tidak Nik Aziz?

Dr Mahathir Mohamad.