Pemimpin PH tidak sedar Mahathir langgar manifesto
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran yang baharu telah melanggar manifesto mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Mereka yang hadir dalam mesyuarat majlis presiden gabungan parti itu langsung tidak membantah ketika Perdana Menteri mengumumkan beliau akan menjawat jawatan tersebut kerana tidak menyedari kesalahan itu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau tidak membantah ketika berbincang mengenai perkara itu kerana tidak menyedari manifesto PH turut menyatakan Perdana Menteri tidak boleh memegang sebarang jawatan menteri lain.
"Saya sendiri tidak berkata apa-apa. (Rupa-rupanya) selain PM (Perdana Menteri) tidak boleh menjadi Menteri Kewangan (FM), manifesto PH juga mencadangkan agar PM tidak boleh memegang lain-lain portfolio,” katanya yang dipetik dalam akaun Twitternya, hari ini.
Menurut sumber pemimpin PKR, kebanyakan daripada mereka beranggapan sebelum ini manifesto itu hanya menyatakan perdana menteri tidak boleh menjadi menteri kewangan.
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang yang hadir semasa mesyuarat itu turut mengesahkan perkara itu kepada portal Malaysiakini.
“Ini tidak dibangkitkan semasa mesyuarat,” kata Salahuddin.
Dalam Janji 12 Manifesto PH, ia menyatakan: “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama menteri kewangan.”
Pengumuman Mahathir yang bercanggah dengan janji manifesto itu turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin Barisan Nasional. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment