Friday, June 2, 2017

KEMATIAN MISTERI INSPEKTOR - BAPA TUNTUT SIASATAN MENYELURUH




Bapa kepada Inspektor Ahmad Al-Syamir Sharif Folidin yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di kepala, Sharif Folidin Jaafar, 63, berharap pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian anak sulungnya itu.

Beliau berkata, cara kematian anaknya amat meragukan dan pihak keluarga amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang menyebarkan gambar serta keterangan kes sehingga menjadi bahan cemuhan dalam kalangan orang ramai.

“Terlalu banyak yang menjadi persoalan dalam kes tersebut, malah ada yang mengatakan anak saya bertindak demikian akibat tidak dapat cuti kerana ingin melawat saya yang sedang sakit sedangkan saya sihat dan baru bertemu dengannya beberapa hari lepas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Hulu Langat hari ini.

Tambah Sharif Folidin, anaknya juga pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja selepas ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan sebelum ini.

Mayat Inspektor Ahmad Al-Syamir, 29, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) IPD Pasir Puteh di sini ditemukan terkulai di atas kerusi pejabatnya de­ngan satu kesan tembakan di dahi pagi ini.

Tangan kanannya pula masih memegang sepucuk pistol jenis P99 Walther manakala tubuhnya berlumuran darah.

Bagaimanapun punca kematian pegawai polis itu masih menjadi misteri dan sedang disiasat.

Dalam pada itu, pe­mangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa ditemukan pada pukul 9.40 pagi oleh seorang anggota polis yang mencarinya di bilik.

Ujarnya, sebelum kejadian, mangsa menjalankan tugas melakukan rondaan di sekitar daerah ini bermula pukul 8 malam tadi hingga 8 pagi ini.


No comments:

Post a Comment