Monday, June 12, 2017

DANA HARAM UNTUK TUMBANGKAN KERAJAAN ?




Kerajaan bersedia bertindak membekukan mana-mana akaun pesisir pantai di Labuan sekiranya siasatan mendapati sumber wang tersebut diperoleh daripada hasil kegiatan haram.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan undang-undang akan diambil jika terdapat bukti kukuh mengenai syarikat atau individu yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

Sambil memberi pe­ringatan tegas, beliau berkata, segala pemantauan mengenai kegiatan terbabit dilakukan secara terus oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kesan kegiatan haram ini sa­ngat bahaya kepada kedudukan ekonomi negara kerana kegiatan yang dijalankan boleh menjurus kepada lari cukai dan jenayah penipuan.


“Kegiatan ini kalau tidak dipantau dan dihalang boleh menyebabkan ia digunakan untuk membiayai kegiatan ekstremis di dalam dan luar negara,” tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mingguan Malaysia menerusi laporan eksklusif melaporkan berbilion-bilion ringgit wang haram tersimpan dalam akaun pesisir pantai di Labuan yang dipercayai sebahagian daripada wang berkenaan digunakan untuk menampung dana politik parti tertentu demi merampas pemerintahan negara.

Jelas laporan itu, dana tersebut dijana melalui hasil kegiatan sindiket yang menawarkan skim pelaburan palsu kepada orang ramai dari dalam dan luar negara.

Hasil keuntungan memperdaya orang ramai itu akan disalurkan ke akaun pesisir pantai sebelum diagihkan untuk pelbagai tujuan termasuk membiayai dana parti politik tertentu di negara ini.

Malah laporan itu turut mendedahkan kemasukan wang haram itu turut dilakukan secara fizikal melalui jalan darat melibatkan utara, pantai timur dan selatan negara.

Lebih membimbangkan, wang haram turut dikesan dibawa ma­suk ke negara melalui salah satu lapangan terbang dan dikhuatiri disalurkan untuk aktiviti pengganas.

No comments:

Post a Comment