Tambah memanaskan keadaaan, PAN memberi bayangan parti itu sudah bersedia mengambil alih jawatan Exco, kedudukan dalam anak-anak syarikat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jawatan di peringkat akar umbi yang ketika ini disandang Pas.
Naib Ketua Pemuda Nasionalnya, Shazni Munir Mohd. Ithnin berkata, Mohamed Azmin perlu membuat keputusan sama ada mahu te­rus ‘bersangka baik’ terhadap Pas yang meluluskan usul memutuskan hubungan pada muktamar atau merombak kerajaan negeri.
“Dengan pendirian terkini Pas itu, saya fikir bola ketika ini terletak pada kaki Menteri Besar Sela­ngor sama ada mahu terus 'bersangka baik’ atau merombak pentadbiran negeri,” katanya ke­tika dihubungi di sini hari ini.
Kedudukan pentadbiran negeri Se­langor berada dalam keadaan tidak menentu akibat pergeseran politik antara Pas dan PKR walaupun Mohamed Azmin cuba untuk meredakan suasana de­ngan mendakwa kepemimpinannya masih mendapat dukungan penuh wakil rakyat Pas negeri.
Ironinya ketika Mohamed Azmin membuat dakwaan demikian, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula membayangkan tidak mustahil peralihan kuasa berlaku di Selangor.
Ditanya mengenai soal peralihan kuasa di Selangor, Shazni Munir berkata, PAN tidak melihat dalam konteks perubahan kepemimpinan negeri, sebaliknya peralihan kuasa melibatkan parti itu dengan Pas.
Katanya, jika persediaan ke arah peralihan kerajaan negeri sedang dibuat, empat parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebenarnya boleh dipertanggungjawabkan secara kolektif untuk tujuan tersebut.