Sunday, April 16, 2017

PANGLIMA ALAM MAYA SIAP SEDIA BERPERANG



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan keyaki­nan kepada golongan aktivis media sosial untuk terus memainkan peranan mempertahankan kerajaan dan membantu mengekalkan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Beliau berkata, mereka me­rupakan panglima di alam maya yang begitu setia mempertahankan dasar kerajaan BN iaitu bukan sekadar aktivis, tetapi juga pejuang nasionalis mempertahankan maruah parti dan membidas segala pembohongan yang giat dimainkan oleh pembangkang sejak sekian lama.

“Medan perang kita hari ini sudah berubah, tidak lagi dalam bentuk fizikal atau face to face, tetapi alam maya atau ruang siber adalah medan perang yang baharu.


“Jika kita imbas kembali apa yang berlaku dalam dua pilihan raya umum dahulu, kerajaan BN terdedah kepada serangan tanpa ada bala tentera yang boleh menangkis serangan tersebut.

“Tetapi hari ini, saya lihat bahawa sudah ada penambahbaikan dan kita telah berjaya menghimpunkan ramai aktivis media sosial, panglima-panglima alam maya kita yang setia bersama BN yang tetap percaya kepada perjuangan dan dasar kita,” katanya menerusi blog beliau, najibrazak.com, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menggariskan tiga perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam perjuangan bersama menghala ke medan perang itu sebagai prinsip asas yang harus dipraktikkan.

Kata beliau, perkara pertama adalah semua pihak diminta untuk mengelakkan pertelagahan sesama sendiri sebaliknya komited kepada perjuangan secara bersama, berjuang mene­gakkan kerajaan BN.

“Kedua, kita mesti memperluaskan lagi rangkaian alam maya kita. Kita perlu tentukan kandungan dan mesej kita kepada rakyat dan berkongsi maklumat sesama kita agar ia dapat disebarkan dengan lebih meluas dan lebih berkesan lagi.

“Amanat saya yang ketiga kepada semua adalah kita perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam pilihan raya umum dahulu. Kita mesti tangkas dalam respon kita dan tidak terperangkap sepertimana yang berlaku pada hari mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila pembangkang menyebarkan berita palsu berhubung pengundi Bangladesh dan kita mewujudkan keadaan blackout di tempat tertentu untuk memanipulasi undi,” katanya.

Beliau turut menjangkakan bahawa dalam pilihan raya umum akan datang, pembangkang akan kembali menggunakan taktik kotor serupa, melontarkan sesuatu yang tak terfikir demi membuatkan orang marah dan benci kepada BN.

“Ingatlah bahawa pembangkang hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja iaitu If you cannot convince them, confuse them.

“Taktik kotor mereka amat jelas, jika mereka tidak dapat meyakinkan pengundi agar mempercayai janji-janji kosong atau kata-kata manis mereka, modus operandi mereka adalah untuk mengelirukan rakyat agar menimbulkan ketidakpercayaan serta kemarahan terhadap kerajaan BN,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, sudah tiba masanya kita membuat serangan balik terhadap segala tohmahan pembangkang berbanding hanya sekadar mengambil pendekatan mempertahan serangan.



No comments:

Post a Comment