Monday, April 17, 2017

TERUSKAN MAJUKAN NEGARA, PEDULIKAN PEMBANGKANG



Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan membawa perubahan lebih besar bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara tanpa menghiraukan kerenah pembangkang yang berterusan memburukkan kerajaan pimpinannya.

Perdana Menteri berkata, beliau akan terus memberi tum­puan dan bekerja keras bagi menjayakannya dan dalam masa yang sama, mahukan negara ini dihormati di peringkat dunia.

“Saya tak ‘ambil cara’ pembangkang, saya tak ‘ambil cara’ pe­mimpin kita dulu mengata kita. Saya ‘ambil cara’ pemimpin luar agar negara kita dihormati,” kata­nya.


“Bagi memajukan negara dan dihormati sebagai sebuah negara Islam sejati, Malaysia berpegang kepada pengurusan Petunjuk Pres­tasi Utama (KPI) dan pengurusan maqasid syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Su­ngai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) di Pekan Baru, Kuala Besut, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan ne­geri, Nawi Mohamad.

Kata Najib, transformasi yang ingin terus dibawa bukan perubahan kecil dan perlahan tetapi lebih pantas dan menyeluruh dalam segenap aspek dengan segala keperluan rakyat, pembangunan fizikal dan rohani, emosi, ilmu dan akal.

Menurut beliau, rakyat tidak perlu bimbang dengan segala yang ditabur oleh pembangkang kerana negara ini berada di landasan yang benar.

“Yang memperkecilkan kita, persendakan kita, nawaitu mereka bermotif politik, bukan niat suci. Jadi kita kekalkan kompas kita, GPS (sistem pengesan glo­bal) kita. Kita mesti istiqamah dan konsisten bagi memastikan perjuangan diteruskan,” ujar beliau.

Katanya, banyak pihak di luar mengakui kelebihan negara ini termasuklah yang terbaharu pengiktirafan oleh University of Pennsylvania yang menamakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik dunia.

“Majalah International Living menyatakan penjagaan kesihatan Malaysia yang keempat terbaik di dunia manakala penilaian World Economic Forum Global Competitive Indexs meletakkan Malaysia di tempat ke-11 daripada 138 terbaik dari segi infrastruktur pe­ngangkutan awam.

“Ini semua pengiktirafan yang bukan kita boleh beli atau minta. Ini penilaian mereka. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sanjung kita, kini Kim Jong-un (pe­mimpin tertinggi Korea Utara) juga hormati kita dengan membenarkan sembilan rakyat Malaysia pulang dengan selamat,” ujarnya



No comments:

Post a Comment