Menurut firma penyelidikan pasaran Frost & Sullivan (F&S), berdasarkan maklumat rasmi yang diperoleh dari Januari hingga November 2015 dengan ramalan bagi Disember, jualan kereta mewah dijangka mencatatkan jualan 23,100 buah mengatasi jualan pada 2014, sebanyak 19,593 buah.

Daripada 23,100 buah itu, 47.8 peratus dikuasai Mercedes-Benz, BMW 31.9 peratus, Lexus 8.5 peratus, Audi 6.5 peratus, Volvo 2.5 peratus, Land Rover 2.3 peratus dan Jaguar 0.4 peratus.

Penganalisis F&S, Vivek Vaidya berkata, hal demikian berlaku kerana pembeli-pembeli kereta mewah merupakan kelompok yang berpendapatan tinggi dan tidak terkesan terhadap sebarang kesukaran ekonomi yang berlaku pada masa ini.

“Golongan pembeli ini mempunyai profil kewangan yang kukuh dan mudah bagi mereka untuk mendapatkan pinjaman membeli kenderaan. Langkah pihak perbankan mengetatkan peraturan pinjaman pembelian kereta tidak beri masalah kepada kelompok ini.

“Selain itu, dengan pendapatan yang kukuh mereka juga tidak begitu terkesan atau risau terhadap perkembangan ekonomi yang mencabar serta kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya semasa membentangkan prospek industri automotif Malaysia 2016 di sini baru-baru ini.

Malah jualan kereta mewah secara bulanan adalah lebih tinggi setelah GST bermula pada 1 April 2015 dengan bulan Mei merekodkan bilangan tertinggi dengan 2,272 buah.
Menurut Vivek, peningkatan itu turut disumbangkan hasil tawaran-tawaran model baharu yang berharga lebih murah terutama sekali apabila beberapa pengeluar kereta murah ini mula mengeluarkan kereta secara pemasangan tempatan (CKD).
Tambahnya, hal itu dapat dibuktikan oleh Mercedes-Benz yang mula melaksanakan CKD bagi model C-Class sejak April sekali gus membantu jenama Jerman itu meningkatkan jualannya daripada sekitar 6,956 buah pada 2014 kepada 11,000 buah pada 2015.
“Apapun peningkatan jualan kereta mewah ini merupakan fenomena global dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Pembeli-pembeli daripada golongan pendapatan tinggi tidak terjejas akibat kesukaran ekonomi global,” katanya.
Menurut analisis industri sebelum ini, kesan pelaksanaan GST, sukar mendapatkan pinjaman bank serta sentimen pengguna yang lemah lebih menjejaskan pasaran segmen kereta mampu milik khususnya pengeluar kereta nasional seperti Proton dan Perodua.
Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, kesukaran pembeli untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan merupakan penyumbang kepada penyusutan jualan kenderaan keluaran Proton.