Monday, April 3, 2017

JANGAN MUSUHI UMNO SAMPAI AKHIRAT



Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, mengingatkan ahli pergerakan itu supaya jangan memusuhi UMNO sehingga hari akhirat atau menjadikan ahli parti pemerintah itu seteru sepanjang hayat. 

 Beliau sebaliknya meminta ahli pergerakan itu supaya mendekati ahli dan parti UMNO yang menunjukkan minat menguatkuasakan Islam dalam seluruh kehidupan dan hanya bermusuh jika menunjukkan sikap penentangan terhadap Islam.  

Nik Abduh bagaimanapun menolak sebarang kemungkinan PAS akan menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).  "Saya minta ahli PAS berfikir lebih jauh ke depan. 

Perjuangan Islam bukan soal PAS-UMNO, ia adalah soal bagaimana nak bawa agama ini diterima dalam masyarakat. "Kita tahu jika PAS sahaja yang mahu kepada Islam dan orang lain tak nak, jadi tidak ke manalah.  "Jadi, saya minta Pemuda PAS berfikir lebih besar dan jangan hanya berkisar antara PAS dan UMNO sahaja. 

Jika hanya fikir PAS-UMNO, PAS-UMNO, akan jadi macam PAN (Parti Amanah Negara), anggap UMNO musuh sampai akhirat," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Perak, di sini, hari ini.  

Nik Abduh berkata, UMNO hanya musuh politik semasa dan PAS ketika ini menggunakan strategi mendekati parti pemerintah itu tetapi ia tidak disukai oleh parti serpihan PAS.  

Selain itu, beliau berkata, sukar untuk PAS menjalin kerjasama politik dengan UMNO dalam menghadapi PRU-14 kerana kedua-dua parti bertanding di kerusi atau kawasan yang sama. "Kerusi yang kita akan bertanding, mungkin 70 hingga 80 kerusi (Parlimen), semua kerusi ini tempat yang UMNO ada (meletakkan calon), jadi macamana kita nak kerjasama dengan UMNO," katanya..