PENULIS langsung tidak terkejut dengan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan 31 tahun lalu.
Ia kerana sebutlah apa pun yang ada kaitan dengan politik Pas, Mursyidul Am itu akan muncul dengan hujah yang meletakkan kepentingan politik Pas mengatasi segala-galanya. Biarlah apa pun ulama kata, biarlah apa juga pandangan mufti dan tidak kisahlah apa pun kesan ke atas umat Islam kerana amanat itu, bagi Nik Abdul Nik Aziz semua itu tidak penting.
Apa yang lebih penting ialah Pas tidak boleh membuka sebarang haluan yang menampakkan parti itu ada masalah. Bagi Nik Abdul Aziz soal apa yang berlaku akibat amanat Hadi adalah isu lapuk dan beliau melihat tidak ada apa salahnya sebuah amanat yang hakikatnya telah memecah belah umat Islam selama 31 tahun itu.
Oleh kerana amanat itu lebih banyak memberi kesan kepada mereka yang sudah meninggalkan perjuangan Pas, Nik Abdul Aziz peduli apa. Sebab itulah beliau mahu Hadi mempertahankan amanat tersebut kerana menganggap Hadi perlu berhadapan dengan puak penakut?
Persoalannya siapakah yang lebih penakut Hadi atau bekas pengikut Pas. Sekurang- kurangnya pengikut Pas berani tampil mendedahkan kisah mereka yang taksub dengan Amanat Haji Hadi.
Tetapi di mana keberanian Hadi yang terus berdiam diri dan tiba-tiba Nik Abdul Aziz muncul dengan hujah politik dangkalnya untuk mempertahankan Hadi.
Siapa sebenarnya penakut, mereka yang muncul mendedahkan penderitaan mereka atau seorang pemimpin yang tidak berani tampil untuk bertanggungjawab terhadap perbuatannya?
Kalau Hadi yakin beliau berada di pihak yang benar dan menganggap amanatnya itu tidak ada apa-apa salahnya, kenapa Hadi tidak bangkit mempertahankannya?
Kenapakah membiarkan isu itu terus menjadi tumpuan? Sepatutnya Hadi mempunyai keberanian untuk berdepan dengan isu tersebut dan bukannya membiarkan pemimpin-pemimpin Pas lain termasuk Nik Abdul Aziz bercakap bagi pihak beliau?
Oleh itu biarpun kita mengetahui betapa hebatnya pengaruhnya Nik Abdul Aziz dalam Pas namun ia bukanlah alasan untuk beliau muncul mempertahankan Hadi.
Beliau berhak berbuat demikian selepas Hadi bercakap tetapi masalahnya Hadi seolah-olah takut berhadapan dengan realiti akibat daripada perbuatannya sendiri.
Justeru tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas mahu bertindak sebagai pembela yang tidak bertempat.
Mereka sudah melihat betapa buruknya kesan daripada amanat tersebut justeru kalau pun hendak bercakap desaklah Hadi menarik balik amanatnya atau meminta penyokong Pas supaya tidak lagi berpegang kepada amanat itu. Tetapi masalah Pas tidak akan berbuat demikian apatah lagi pada saat-saat pilihan raya umum semakin hampir.
Apa pun Nik Abdul Aziz ternyata semakin dikaburi dengan ketaksuban politik sehingga menyebabkan beliau dilihat seolah-olah kehilangan sentuhan dan naluri sebagai seorang tok guru dan ulama.
Namun apa yang melucukan penulis ialah apabila Nik Abdul Aziz berkata, agama bukan hak Hadi. Soalnya parti manakah selama ini begitu beria-ia melaungkan kononnya merekalah pejuang Islam?
Parti manakah yang pemimpinnya begitu mudah memperlekehkan segala usaha UMNO dalam soal mengembangkan syiar Islam? Dan kita juga bertanya parti manakah yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum ke atas sesama Islam hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik?
Semua orang tahu apa jawapannya, oleh itu tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas cuba berpolitik dalam isu amanat ini dengan melancarkan serangan ke atas pihak yang berusaha menegak kebenaran.
Ingatlah pemimpin yang baik tidak takut untuk bertanggungjawab ke atas setiap perbuatannya, kerana beliau memahami mungkin di dunia beliau boleh bersilat lidah tetapi tidak di akhirat kelak.
Justeru Pas perlu belajar berpolitik secara jujur dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain terhadap apa yang berlaku ke atas mereka atau dilakukan oleh pemimpin mereka.
Sebab itulah keikhlasan dan keberanian Hadi amat dituntut kerana hanya beliau sahaja paling layak untuk memutuskan apa yang sepatutnya dilakukan ke atas amanat berkenaan.
Mungkin Hadi rasa selamat sekarang kerana Pas apatah lagi Mursyidul Amnya tampil membela beliau tetapi Hadi harus ingat yang akan mengundi Pas bukan hanya penyokong parti itu sahaja sebaliknya penentu nasib Pas adalah orang Melayu dan umat Islam.
Golongan itu sudah melihat bagaimana buruknya kesan akibat Amanat Haji Hadi. Mereka kini semakin faham bahawa Pas sanggup melakukan apa sahaja demi untuk meraih kuasa politik.
Kalau dibandingkan Pas dulu dan sekarang tiada bezanya, dulu mereka riuh kafirlah UMNO untuk mendapat sokongan orang Melayu, sekarang mereka bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pula demi memburu undi bukan Melayu.
Sejak berkawan rapat dengan PKR, pemimpin-pemimpin Pas semakin pandai menjadi sesumpah politik. Begitulah dalam isu amanat ini, Pas tidak akan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku kerana bimbang akan kehilangan sokongan politik, oleh itu mahu tak mahu Hadi dan pemimpin Pas akan terus bersandiwara dalam isu amanat tersebut.
Salah satu cara ialah mengalih perhatian kepada isu lain, supaya isu Amanat Haji Hadi tidak lagi diperkatakan. Malahan kita juga jangan terkejut jika Pas dilihat seolah-olah berkrisis dengan DAP dalam sesuatu isu.
Hakikatnya semua itu satu sandiwara Pas untuk mengalih perhatian orang Melayu terhadap isu amanat. Kita faham sejauh mana keberanian Pas dalam berhadapan dengan DAP. Kalau Pas begitu berani menyanggah DAP sudah lama Pas bukan sahaja akan dominan dalam pakatan pembangkang malahan akan kekal dengan perjuangan Islamnya.
Oleh itu tidak payahlah Pas hendak bersandiwara kononnya mereka berani menyanggah DAP sedangkan isu amanat pun tidak mampu ditangani.
Jika Pas berasa mereka parti hebat tampilkan Hadi untuk membuat penjelasan supaya segala-gala dosa Pas akibat amanat berkenaan dapat ditebus.
Bagaimanapun percayalah Pas tidak mungkin berbuat demikian kerana perjuangan Pas sekarang bukanlah berkonsepkan parti Islam tetapi sebuah parti yang semakin hendak tenggelam kerana memburu kuasa.
Apa pun kita tunggu dan lihatlah sejauh mana keberanian Pas dalam isu amanat ini kerana jika tersilap langkah ia akan menjadi virus yang mampu memusnahkan Pas seperti virus Amanat Haji Hadi yang terbukti telah memporak-perandakan umat Islam sejak 31 tahun lalu.
RUBBISH
ReplyDelete