Thursday, February 9, 2017

Kepekaan deria dalam spektrum autisme



Ruangan ini minggu lalu mengulas ciri-ciri kecelaruan spektrum autisme (Bersama Psikologis, 29 Januari 2017). Secara umumnya, individu yang mengalami kecelaruan spektrum autisme ini cenderung untuk menunjukkan defisit di dalam beberapa aspek seperti komunikasi dan interaksi sosial. Di Malaysia, dianggarkan 1 dari 625 kanak-kanak mengalami gejala autisme. Namun, disebabkan ketiadaan kajian berskala besar, berkemungkinan bilangan mereka yang mengalami gangguan ini adalah lebih besar.

Memahami ciri-ciri utama kecelaruan ini dapat membantu pihak yang terlibat dalam mengenalpasti sebab perbezaan tingkahlaku yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak untuk dibawa ke perhatian pakar perubatan dan kesihatan. Bukan sahaja bagi kecelaruan ini, bagi apa-apa jua jenis gangguan kesihatan, identifikasi awal boleh membantu untuk menguruskan kecelaruan tersebut dengan lebih berkesan.

Selain pemahaman berkenaan ciri-ciri utama kecelaruan spektrum autisme, memahami mekasnisme di sebalik tingkah laku yang ditunjukkan dapat membantu dalam menguruskan gejala kecelaruan ini dengan lebih berkesan. Salah satu aspek yang menganggu individu yang mempunyai kecelaruan spektrum autisme adalah aspek kepekaan sistem deria. Pemahaman bagaimana sistem deria memberi kesan terhadap tingkah laku individu dengan spektrum autisme boleh menyumbang kepada pengurusan persekitaran yang lebih berkesan.


Bagi setiap individu, sistem deria bertanggungjawab untuk mengesan rangsangan dan maklumat dari persekitaran dan menyampaikan rangsangan tersebut kepada otak untuk membolehkan tubuh untuk bertindak balas. Sistem deria terdiri daripada mata, telinga, hidung, lidah, kulit dan saraf yang berkaitan.

Individu yang mengalami kecelaruan spektrum autisme cenderung untuk mempunyai gangguan terhadap kepekaan sistem deria, samaada berlebihan atau kurang. Setiap deria mungkin terlebih atau kurang sensitif, atau kedua-duanya pada masa yang berlainan. Perbezaan deria boleh menjejaskan tingkah laku, dan boleh memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan seseorang.

Bebanan Rangsangan Deria

Reaksi tingkah laku yang ditunjukkan oleh mereka yang mengalami spektrum autisme ada perkaitan dengan ransangan terhadap sistem deria. Reaksi terhadap bunyi, cahaya, dan aspek lain dalam persekitaran cenderung untuk menyebabkan menyebabkan tekanan, kebimbangan dan reaksi tingkah laku seperti menutup telinga, mengelak diri, memberontak dan lain lain reaksi tingkah laku yang biasa dilihat dalam diri mereka yang mempunyai kecelaruan ini.

Dalam aspek deria penglihatan, kurang rangsangan boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur, objek menjadi gelap, dan penglihatan menjadi terjejas. Manakala, rangsangan berlebihan pula menyebabkan objek dan persekitaran menjadi terlalu terang dan dalam sesetengah keadaan berpecah-pecah. Penggunaan alat bantuan penglihatan dan perubahan dalam persekitaran seperti sistem pencahayaan boleh membantu mengurus kesan kepekaan deria penglihatan ini.

Gangguan terhadap sistem deria pendengaran pula boleh menyebabkan pendengaran terganggu samaada terlalu bising atau tidak dapat mendengar dengan baik. Rangsangan berlebihan menyebabkan individu mempunyai kesukaran untuk menumpukan perhatian. Aspek pengurusan bunyi, sama ada perubahan persekitaran atau pengunaan alat penghalang bunyi seperti palam telinga boleh menyumbang terhadap aspek ini.

Untuk sistem deria bau, kesan kurang kepekaan deria menyebabkan individu tidak dapat memberi reaksi terhadap gangguan seperti bau busuk. Manakala rangsangan berlebihan sistem ini pula cenderung untuk menyebabkan mereka terganggu dengan bau yang ada dalam persekitaran mereka. Perubahan persekitaran atau pengurusan diri yang mencakupi aspek deria bau ini boleh membantu individu menangani cabaran ini.

Dalam kalangan individu dengan spektrum autisme, ada kecenderungan untuk memakan benda bukan makanan. Ia berkait rapat dengan gangguan sistem rasa dalam kalangan mereka yang mengalami autisme. Kecenderungan seperti ini memerlukan pemerhatian rapi dan juga bantuan terapi dari mereka yang berkelayakan. Gangguan deria rasa juga cenderung untuk menyebabkan gangguan dalam diet dan nutrien mereka yang mempunyai spektrum ini. Kepekaan deria rasa yang keterlaluan juga menyebabkan sesetengah tekstur makanan memberi ketidakselesaan. Terlalu memilih makanan ada perkaitan dengan gangguan terhadap sistem deria ini.

Deria sentuh juga boleh menyebabkan gangguan terhadap mereka yang mempunyai spektrum autisme. Mereka cenderung untuk mempunyai tahap ambang kesakitan yang tinggi. Kesannya, ia menyebabkan gangguan terhadap aspek sentuhan seperti pakaian dan lain-lain aspek yang melibatkan sentuhan.

Seseorang yang mengalami spektrum autisme mempunyai mekanisme rangsangan deria yang berbeza yang menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi seperti orang kebanyakan. Ramai penyelidik berpendapat bahawa masalah ini yang mencetuskan tingkah laku yang sering dilihat dalam kalangan mereka yang mengalami kecelaruan spektrum autisme ini. Memahami perbezaan ini boleh membantu individu yang berurusan secara langsung dengan mereka yang mengalami kecelaruan spektrum autisme dalam membuat perubahan di persekitaran dan pendekatan dalam berurusan dengan mereka.

sumber: utusan 

No comments:

Post a Comment