Tuesday, November 15, 2016

TEKAD PERANGI JENAYAH RASUAH



Ketua Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad bertekad untuk terus menggempur dan memerangi perasuah ser­ta salah guna kuasa tanpa me­ngira siapa, apa kedu­dukan mereka serta pangkat.

Beliau menerusi ‘Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia’ yang dititipkan sempena 100 hari berkhid­mat sebagai Ke­tua Pesuruhjaya SPRM, mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik, penjawat awam, penguat kuasa undang-undang dan badan kehakiman menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa atau berdepan tindakan badan penguat kuasa itu.
Sambil menyifatkan pelaku ra­su­ah sebagai pengkhianat bangsa, katanya, anggota penguat kuasa tidak sesekali gentar terhadap ku­asa atau pengaruh dalam menja­lankan amanah memerangi kegiatan tersebut secara habis-habisan.

“Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan de­ngarkan a­ma­ran ini, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan ra­suah dan salah guna kuasa. Tunduk dan menyerahlah. Jangan terus mendabik dada kerana nanti anda mungkin rebah ditimpa bala.

“Awaslah api per­juangan ini sema­kin hangat membara. Gendang­ tempur­nya semakin lantang­ ber­gema, gegak gempita menggegar ang­kasa. Biar gugur melayang nya­wa mempertahankan nu­sa, pas­tiku rempuh si durjana pengkhi­anat bangsa,” katanya ketika menyampai­kan warkah tersebut sempena perhimpunan Majlis 100 Hari Ke­tua Pesuruhjaya SPRM .

Tegasnya, walaupun perjuangan memerangi rasuah dan salah guna kuasa adalah getir dan menakutkan, anggota suruhanjaya itu akan terus mengekalkan iltizam walaupun ada ketikanya nyawa menjadi taruhan manakala badan kehakiman perlu menjadi benteng kukuh kepada rakyat dalam mencari keadilan dengan berani menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan.

“Buat para hakim, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasu­ah dan salah guna kuasa tanpa rasa gentar, demi teladan mereka di luar sana,” katanya.

Kepada ahli politik dan pemim­pin masyarakat pula, beliau me­minta mereka melaksanakan a­manah dan memperjuangkan na­sib rakyat yang mahukan pembe­laan, bukannya ‘membuai’ rakyat dengan janji indah sedangkan pada masa sama rakus meragut habuan.a