Minat seorang bekas kerani bank mengayuh basikal sejak zaman persekolahan bukan penghalang bagi dirinya yang kini berusia 62 tahun untuk berbasikal sejauh 800 kilometer dari Perak hingga ke Johor, semata-mata untuk bertemu rakan-rakannya di sepanjang persinggahan.
Noor Azmi Abd. Karim berkata, sejak kecil dia sering berbasikal ke sekolah dan sekitar kawasan perumahan untuk bertemu dengan rakan-rakan bagi mengeratkan silaturahim dan hobi itu masih dilakukannya sehingga sekarang.
Menurutnya, dia berbasikal untuk mencari kepuasan kerana hobi itu bukan hanya dapat meningkatkan tahap kesihatan jantung, malah ia juga boleh menguatkan tubuh badan bagi orang yang seusia dengannya.
“Paling yang saya suka adalah dapat bertemu rakan-rakan yang telah lama tidak saya jumpa di sepanjang persinggahan dan biasanya saya akan berhubung dengan mereka terlebih dahulu dan beritahu lokasi yang boleh kami bertemu,” katanya ketika ditemui di Masjid Tanah di sini hari ini.
Bapa kepada empat orang anak perempuan berusia antara 27 hingga 31 tahun itu berkata, selain rakan, keluarganya turut memberi sokongan bagi meneruskan tradisi melawat rakan-rakan menerusi hobi yang diminatinya itu.
Kayuhannya bermula dari Kuala Kangsar pada Isnin lalu dan sepanjang perjalanan itu Noor Azmi melalui Parit, Bota, Kuala Kangsar di Perak; Sungai Besar, Tanjung Karang, Sekinchan, Kuala Selangor dan Klang (Selangor) sebelum memasuki Melaka menerusi Port Dickson, Teluk Kemang (Negeri Sembilan) dan tiba di Masjid Tanah hari ini.
Kata Noor Azmi, dia akan meneruskan kayuhan pada hari Ahad ini merentasi beberapa kawasan di Johor termasuk Muar, Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian Kecil, Kulai dan Kluang sebelum berpatah semula untuk menamatkan kayuhannya di Alor Gajah pada Rabu depan.
No comments:
Post a Comment