Wednesday, August 21, 2013

SELANGOR PERLUKAN POLIS BANTUAN

Selangor harap lesen tubuh polis bantuan disegera


SHAH ALAM: Kerajaan negeri masih menunggu lesen dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membenarkan penubuhan pasukan Polis Bantuan di Petaling Jaya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri ketika ini mengharapkan permohohan itu diluluskan dengan secepat mungkin.

“Kita masih meminta supaya Kerajaan Pusat terutamanya pihak polis untuk memberikan kita lesen tubuhkan pasukan itu bagi membantu memantau keselamatan dan ketenteraman awam.

” Walaupun terdapat kos pengendalian, kita sanggup berikan dana untuk perkara itu kerana ia penting. Kita harap ia diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Semalam, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendakwa polis memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan bagi mempertingkatkan keselamatan di premis-premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mahkamah.

Yeoh berkata pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan 50 anggota itu boleh membantu PDRM menumpukan rondaan keselamatan di kawasan-kawasan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata ia merupakan projek perintis yang akan ditambah mengikut keperluan dari masa ke semasa dan perlu berkembang ke kawasan PBT lain.

Katanya, beliau menyambut baik perkara itu namun bilangan anggota polis bantuan itu perlu mengikut nisbah antara populasi penduduk mengikut keperluan.

“Kadar nisbah seorang anggota polis 1:1000 ia terlalu ramai, jadi kita rasa ia mesti dikurangkan kepada nisbah 1:300, itu yang perlu dibuat,” katanya.

No comments:

Post a Comment