Thursday, July 14, 2016

IS ANTI ISLAM : UMAT JANGAN KELIRU



ISLAMIC STATE: UMAT ISLAM USAH KELIRU

Islamic State (IS) adalah sebuah pertubuhan pengganas yang telah disytiharkan oleh kerajaan sebagai organisasi haram. Sebagai sebuah organisasi haram maka segala aktiviti, keanggotaannya dan perkara yang berkaitan dengannya adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Kebanyakan rakyat masih keliru dengan matlamat perjuangan IS, justeru itu tidak hairanlah masih ada yang masih bersimpati kepada perjuangan mereka. Sejak 2013 hingga kini terdapat 206 orang telah ditangkap termasuk 15 orang yang terlibat dalam serangan di pusat hiburan Movida, Puchong baru-baru ini.

Jumlah tangkapan sebelum ini pada 2013 hanyalah empat orang sebelum meningkat kepada 59 orang pada tahun 2014 dan bertambah kepada 82 orang pada 2015. Sehingga 4 Julai lalu seramai 61 orang termasuklah yang melakukan serangan di Puchong. Ia menggambarkan betapa rakyat Malaysia tidak peka dan memahami IS itu sendiri dan mudah terpengaruh dakyah sebaran mereka.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang bersidang pada 2104 menfatwakan perjuangan IS (Islamic State) yang terdiri dari ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) atau ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant) adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

ISIS atau ISIL bermula dari gerakan Salafi Jihadi di Iraq yang pada asalnya terdiri dari tiga organisasi jihad yang berbeza, iaitu Ansar al-Islam yang terdiri dari kelompok Salafi Jihadi warga Iraq yang membentuk kawasan 'pemerintahan Islam' mereka yang tersendiri dan mengamalkan kehidupan Islami ortodoks dan radikal.

Keduanya, kumpulan Mujahidin berasal dari Jordan di bumi Iraq yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Jamaah al-Tawhid wa al-Jihadi di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarqawi yang berhijrah ke Iraq untuk melancarkan jihad memerangi pendudukan tentera Amerika Syarikat ke atas bumi Iraq dan kumpulan ketiga adalah al-Qaeda yang berhijrah dari Afghanistan, akibat serangan Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan selepas peristiwa 11 September.

Para ulama ahli Sunnah wal Jamaah telah berulang kali memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak terpengaruh dengan kumpulan pengganas IS kerana ideologi keganasan dan sikap mereka yang selalu mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka dan menghalalkan darah mereka. Pengganas IS ini merupakan dari kelompok Salafi Takfiri iaitu golongan yang cenderung mengkafirkan orang lain yang tidak menganut ideologi mereka. Bahkan mereka sanggup membunuh umat Islam yang tidak sehaluan dengan ideologi salafi yang mereka anuti.

Mereka menghalau penduduk Kristian dan Yazidi dengan cara yang cukup zalim, membunuh rakyat yang tidak berdosa. Jumhur Ulama Ahli Sunnah di seluruh dunia melabelkan mereka sebagai Khawarij di zaman morden (neo-khawarij) dan mengingatkan umat Islam agar jangan terpedaya dengan kesesatan dan penyelewengan mereka.

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia beranggapan bahawa kecenderungan umat Islam untuk berjihad bersama pengganas IS di bumi Syria ini adalah berpunca dari kekeliruan dalam memahami konsep jihad atau mati syahid yang sebenar menurut ajaran Islam. Ajaran atau ideologi keganasan yang mereka bawa amat bercanggah dengan Islam dan boleh menjurus kepada kekufuran dan kesesatan kerana mereka menghalalkan darah umat Islam.

Sehubungan dengan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah menegaskan bahawa tindakan umat Islam dari Malaysia yang memyokong, menyertai atau telah berjuang bersama IS di Syria adalah perjuangan sia-sia kerana perjuangan mereka tidak termasuk dalam kategori jihad dalam Islam dan kematian mereka tidak dianggap sebagai syahid.
Oleh itu umat Islam dinasihatkan agar jangan terjebak, mudah terpengaruh atau bersimpati dengan perjuangan pengganas IS. Jangan sesekali terpedaya dengan propaganda IS yang mengunakan Islam untuk mengaburi mata umat Islam.

Sumber : Friends of Kedaulatan