Mukhriz Mahathir
Difahamkan Mukhriz terpaksa berbuat demikian selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam itu telah hilang kepercayaan daripada majoriti ADUN negeri itu.

Bagaimanapun pengumuman rasmi berhubung penyelesaian konflik politik tersebut akan dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Sumber memaklumkan, istiadat angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan pada Khamis ini.
“Setakat ini Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah masih lagi mengetuai senarai calon yang bakal menggantikan Mukhriz. Namun segalanya masih belum dimuktamadkan selagi tiada kata putus daripada pihak istana,” kata sumber tersebut.

Sebelum penyelesaian yang diketahui lewat malam ini, kon­flik politik tersebut dikatakan tidak menentu apabila Majlis Menghadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah oleh 15 ADUN pembangkang hari ini berakhir dengan kesemua ADUN tersebut mencapai kesepakatan membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha menggantikan Mukhiz.

Difahamkan langkah Mukhriz berundur akan menamatkan ketidaktentuan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri memandangkan Mukhriz tidak mendapat sokongan daripada majoriti ADUN Barisan Nasional (BN) termasuk sekurang-kurangnya enam Exco tidak menyebelahi beliau, ini memungkinkan pentadbiran kerajaan negeri terjejas.

Ketika ini Mukhriz dikatakan mendapat sokongan dua orang Exco sahaja iaitu ADUN Jitra, Aminuddin Omar dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yacob. Lain-lain Exco yang tidak menyebelahi beliau ialah ADUN Guar Chempedak Datuk Dr.Ku Rahman Ku Ismail, ADUN Tanjung Dawai, Tajul Urus Mat Zain, ADUN Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim, ADUN Langkawi Datuk Mohd.Rawi Abd.Hamid, ADUN Bandar Bahru, Datuk Norsabrina Mohd.Noor dan ADUN Gurun Datuk Dr.Leong Yong Kong.

Pada mesyuarat Exco minggu lalu hanya, tiga orang sahaja Exco yang hadir iaitu Aminuddin, Suraya dan Nor Sabrina. Keadaan itu menyebabkan tiada sebarang keputusan atau usul boleh diluluskan kerana mesyuarat tersebut memerlukan sekurang-kurangnya empat exco tidak termasuk Menteri Besar.

Sumber : Urusan