Saturday, December 17, 2016

TANAH MELAYU DALAM BAHAYA : BIAR KAMI MATI DI SINI !



Kekalahan demi kekalahan menyebabkan Chin Peng semakin berang, dendamnya bertambah membara, komunis terus mempergiatkan serangan mereka. 80 pengganas menyerang Simpang Tiga berhampiran Ipoh. Mereka seluruh kampung tersebut. Seribu penduduk kampung kehilangan tempat kediaman.

Dua minggu kemudian pemberontak komunis mensasarkan sebuah balai polis di Bukit Kepong. Serangan mengejut 180 anggota komunis berbanding 18 anggota polis menjadi satu simbol keberanian pejuangan anggota polis Melayu sehingga membangkitkan lagi semangat keperwiraan dalam darah pejuang-pejuang Melayu untuk menewaskan komunis Malaya di bawah pimpinan Chin Peng.

Pengganas komunis yang mulai mengganas apabila kerajaan mengharamkan kegiatan mereka. Pengharaman ini membantutkan usaha mereka untuk menguasai Tanah Melayu. Justeru itu pengganas komunis sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan hajat mereka tercapai. Ini menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan.

Januari 1949, di suatu kawasan di Bukit Kepong pengganas komunis bergerak bebas serta bergiat dengan lebih aktif di kawasan tersebut. Mereka telah melatih ramai pemuda Bukit Kepong dan Kampung Seraya untuk dijadikan rekrut mereka. Menjelang bulan Jun pula, segerombolan pengganas komunis telah masuk ke Bukit Kepong. Penduduk kampung telah dikumpulkan di sebuah padang. Ketua komunis tersebut telah memberikan ucapan untuk mengajak penduduk kampung menyertai pergerakan mereka. Mereka seterusnya menurunkan bendera Johor dan menaikkan bendera komunis.

Penghulu Ali Mustafa mendapat perkhabaran tersebut dengan serta merta dia bergegas ke Bukit Kepong. Beliau mengumpulkan penduduk kampung dan menyeru mereka agar menolak sebarang dakyah daripada pihak komunis, sebaliknya membantu kerajaan menjaga keamanan. Kemudian, Penghulu Ali meminta mereka menurunkan bendera komunis dan menaikkan semula bendera Johor.

Penghulu Ali mahu agar Balai Polis Bukit Kepong dipulihkan kembali untuk mengekang pergerakan komunis. Polis menerima cadangan tersebut, dua minggu berikutnya seramai 15 anggota polis dari pelbagai pangkat diarah berkhidmat di Bukit Kepong. Mat Indera ketua pengganas komunis dari kalangan orang Melayu mulai terasa bahangnya dengan segera menemui Penghulu Ali untuk memujuknya agar menyokong kegiatan mereka menentang kerajaan. Namun kesetian Penghulu Ali kepada perjuangan bangsa Melayu keal utuh dan kukuh, dia menolak permintaan tersebut dan Mat Indera pulang dengan penuh rasa kecewa.

Dalam satu kejadian, ketika Aziz Tompok, Harun Nuik, dan Saibun ke pekan Bukit Kepong untuk mengutip wang jualan rotan, tiba-tiba mereka telah disekat oleh orang-orang Tuck Sai (Komunis). Mereka ditahan dan diarahkan pulang, namun Saibun dan Aziz melawan dan telah berjaya membunuh dua daripada mereka. Selebihnya bertempiaran menyelamatkan diri. Kejadian ini menyebabkan polis terpaksa mengetatkan lagi kawalan.

Peristiwa ini membuatkan pengganas komunis berasa amat marah dan menyimpan perasaan dendam. Suatu malam, Wang Lee dan Tuck Sai membawa 10 orang rakannya menuju ke Kampung Belatak. Mereka mengepung rumah Saibun, mentua, isteri, dan anak-anak Saibun dibunuh dengan kejam dan rumah itu dibakar. Dua orang rakan Saibun cuba membantu dengan menentang musuh, namun kudrat mereka tidak berdaya. Ketika kejadian tersebut berlaku, Saibun tiada di rumah. Setibanya Penghulu Ali dan pasukan polis ke tempat tersebut, pengganas komunis telah melarikan diri.

Setiap hari ada saja keganasan yang dilakukan oleh pengganas komunis, terutama di daerah Muar dan Labis. Semakin hari suasana menjadi semakin tegang. Pergerakan orang ramai semakin terhad apabila sesetengah kawasan telah dikuatkuasakan perintah berkurung.

Lam Fong, ketua pengganas komunis di kawasan Muar, dibantu oleh Lau San, telah mengetuai gerombolan menyerang Pekan Simpang. Mereka akan membunuh sesiapa sahaja yang menentang aktiviti mereka dan akan merampas segala barang makanan bagi disimpan di hutan Pagoh. Keesokan harinya pula mereka menyerang Ladang Getah Palaniapa dan membunuh para pekerja yang menentang mereka.

Kemudian, mereka membakar semua rumah dan bangunan yang ada. Selang beberapa hari kemudian, Lam Fong dan pembantunya Ah Sai pergi ke rumah seorang tauke ladang getah berbangsa Cina. Tauke Cina itu enggan bekerjasama dan dibunuh di hadapan para pekerjanya. Suatu hari, ketika Lans Koperal Jidin dan Othman menjalankan tugas sekatan jalan, mereka menahan basikal yang dinaiki Ah Lam yang membawa dua tin besar makanan. Ah Lam tidak memberitahu ke mana bekalan itu hendak dibawa.

Setelah memeriksa bekalan yang dibawa, didapati kedua-dua tin tersebut mengandungi bekalan ubat-ubatan dan makanan. Ah Lam serta merta ditahan untuk siasatan rapi. Pasukan pengganas Komunis yang diketuai oleh Chan Fei dan 60 orang anggota menjalankan tugas di pinggir hutan Labis bercadang untuk menyerang Rumah Pasung Labis. Dalam waktu yang sama, padaJanuari 1950, pasukan penggempur polis dengan dibantu jungle squad menuju sasaran pengganas yang diketuai oleh Chan Fei. Mereka bergarak secara combat dari tiga penjuru yang diketuai oleh Inspektor Majid, Inspektor Chin, dan Leftenan Brown. Malangnya pergerakan mereka tidak membuahkan sebarang hasil apabila sudah dihidu terlebih dahulu oleh pihak musuh. Maka terjadilah pertempuran sengit.

Ketua pengganas komunis dan sebahagian daripada ahlinya berjaya melarikan diri. Manakala seramai 23 pengganas berjaya dibunuh dan 17 orang lagi ditawan. Sebanyak 14 laras senjata dan beberapa butir bom turut dirampas.

Peristiwa pertempuran yang berlaku di Labis menyebabkan pasukan keselamatan menambah anggota di beberapa buah rumah pasung. Lans Koperal Jidin Omar, Othman Yusof, Yusof Rono, EPCkhalid, dan EPC Mohd Top Lazim telah diarahkan bertukar ke Rumah Pasung Bukit Kepong. Disebabkan kekurangan rumah keluarga, Othman telah menghantar isterinya yang sarat mengandung pulang ke Kulim. Othman bersama-sama Latif menaiki jip hingga ke Rumah Pasung Lingga. Dari situ,mereka menaiki bot marin menuju ke Bukit Kepong.

Perjalanan menaiki bot memakan masa dua jam. Pada 11 Februari 1950, Mat Idera dan Tuck Sai telah diarahkan oleh Chan Fei untuk merisik kedudukan Rumah Pasung Bukit Kepong. Mereka menanda beberapa kawasan. Othman bersamarakannya yang meronda beberapa kawasan kampung telah menemui beberapa perkara aneh, antaranya buluh yang dipancang di beberapa tempat dan sebatang cangkul yang ditanam. Anggota polis yang lain juga turut terperasan apabila seorang pemuda Cina duduk berjam-jam lamanya di sebuah gerai sambil merenung Rumah Pasung Bukit Kepong. Malah terdapat seorang pemuda lain dating menjual pisang ke kampung dan berkumpul di berhala Cina. Namun, kejadian aneh yang berlaku itu tidak sedikit pun menimbulkan rasa syak akan sesuatu kemungkinan buruk, apatah lagi beberapa hari lagi akan diadakan sambutan Tahun Baru Cina.

Pada 21 Februari 1950, suasana di Bukit Kepong sangat meriah. Ramai yang pulang ke kampung. Walau bagaimanapun, anggota polis tetap berwaspada. Hari ini, OCPD Pagoh, Inspektor J.J.Raj Juniar telah mengadakan lawatan dan mendengar taklimat tentang keselamatan. Pada waktu itu pihak pengganas di bawah pimpinan Lek Tuan telah bersiap sedia untuk menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Pengganas komunis telah mengatur strategi dengan menggunakan 180 ahli. Sebanyak tiga pasukan ditubuhkan; pasukan penggempur, pasukan senjata automatik, pasukan propaganda. Mereka juga mewujudkan pasukan penghalang untuk menghalang kemaraan pasukan bantuan kerajaan.

Keesokannya, Lek Tuan mengarahkan pasukan yang ditubuhkan itu menjalankan tugas seperti yang telah diarahkan. Pengganas komunis berkhemah tidak jauh dari Kampung Durian Chondong. Pada malamnya, suasana Bukit Kepong terus meriah apabila mercun dan bunga api dipasang.Pada malam itu, Tuck Sai dan Ah Meng diarah memperdaya ketua rumah pasung, Sarjan Jamil supaya keluar dari rumah pasung tersebut untuk dibunuh.
Untuk tujuan tersebut, Tuck Sai dan Ah Meng membuat laporan palsu tentang kematian anak Ah Meng yang terjatuh ke dalam perigi dan disyaki mati. Mereka berdua meminta Sarjan Jamil menyiasat pada malam itu juga. Anggota polis agak ragu-ragu terhadap laporan tersebut kerana kedua-dua lelaki Cina ini tidak pernah dilihat. Akhirnya hasrat memperdaya anggota polis tidak tercapai. Tanpa disedari oleh penduduk dan pengawal, selepas membuat laporan, kedua-dua lelaki Cina itu Berjaya menyusup hingga ke sisi pagar rumah pasung. Ketika itu anjing menyalak, tetapi anggota polis tidak menduga sebarang kemungkinan buruk. Selepas dua jam mereka menunggu, kira-kira jam 4.00 pagi, Sarjan Jamil masih belum keluar untuk menyiasat. Akhirnya, Chan Fei mengarahkan pasukan penggempur untuk mengambil tempat. Mereka bergerak secara combat.

Ketika itu penghuni rumah pasung sedang tidur lena, manakala pengganas komunis mula mengatur rancangan untuk menyerang.

Kira-kira jam 4.00 pagi, seorang pengawal telah ternampak kelibat musuh di luar pagar. Namun, sebelum maklumat itu dimaklumkan kepada rakan-rakan setugas, pengganas sudah melepaskan tembakan bertalu-talu dari tiga penjuru. Anggota polis yang berkawal segera mengambil kedudukan. Proses tembak-menembak yang berlaku antara anggota polis yang berkawal dan pengganas komunis tersebut telah menyebabkan penghuni rumah pasung terkejut. Anggota yang tinggal di rumah kelamin segera mempertahankan diri walaupun ditegah oleh isteri masing-masing.

Sarjan Jamil mula menagrahkan anggotanya mengawal keadaan. Disebabkan serangan demi serangan tanpa henti, beberapa anggota telah terkena tembakan, antaranya AP Osman Yahya dan Jaafar Arshad. Namun, serangan yang berterusan itu pada awalnya tidak dapat didengar oleh pengawal diKampung Tui, tempat kediaman Penghulu Ali.

 Apabila menerima makluman tentang serangan tersebut, tanpa berlengah, Penghulu Ali segera mengumpulkan semua pengawal dan mereka segera bergerak menuju ke Bukit Kepong. Usaha dan hasrat untuk menamatkan serangan tidak tercapai.Madera meminta anggota polis menyerah diri, namun pasukan polis terus membalas tembakan. Inimenyebabkan pengganas komunis meneruskan serangan.

Serangan masih lagi berterusan. Mereka belum berjaya memasuki kawasan rumah pasung. Sedang Yusof Rono dan Ahmad Khalid berbalas tembakan dengan pengganas komunis daripada kubu bawah, Yusof Rono yang telah terkena tembakan di bahagian bahu kirinya meminta bantuan daripada rakan seperjuangannya yang lain untuk memberikan pertolongan di bahagian kubu bawah. Beberapa anggota polis telah terkorban, antaranya Muhamad Jaafar dan Ali Akop.

Manakala kemaraan Penghulu Ali dan orang-orangnya yang datang untuk memberikan bantuan telah tersekat kerana dihujani peluru oleh pihak pennganas komunis yang menyerang dari arah semak dan celah-celah pokok getah. Mereka masih lagi tersekat di pinggir kampong dan gagal untuk memberikan bantuan. Seorang daripada anak buah Penghulu Ali telah ditembak mati.

Pada jam 6.00 pagi, suasana sudah mulai terang. Bayang-bayang musuh dan pihak polis semakin jelas kelihatan. Mat Indera sekali lagi mencuba meminta anggota polis supaya menyerah diri. Namun, pasukan polis tidak sesekali bercadang untuk menyerah. 

Pertahanan anggota polis kian rapuh. Hampir kesemua anggota polis telahpun gugur syahid dan yang tinggal hanyalah beberapa orang sahaja seperti EPC Mohd Top Lazim, Othman Yusof, dan Lans Koperal Jidin Omar. Manakala isteri anggota polis yang bertahan di berek pula masih lagi selamat.

Berita serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Muar dan pegawai Daerah Muar. OCPD Pagoh dan pasukan jungle squad bergerak menuju ke Bukit Kepong. Ketika itu, pengganas sudah berjaya masuk ke kawasan berek. Pengganas mula menggunakan bom tangan, melemperkannya ke arah anggota polis yang sedang mempertahankan diri. Ahmad Khalid cedera setelah terkena serpihan bom itu. Lau San mengarahkan Mat Indera untuk mendapatkan anggota polis yang berada dalam berek. Mat Indera dan kumpulannya menjalankan tugas mereka dan mereka terjumpa dengan ahli keluarga polis lalu mengheret mereka keluar. Sementara itu, Mariam Ibrahim merayu kepada Mat Indera untuk mencari suaminya, Muhammad Jaafar. Dia diherdik beberapa kali namun dia tetap bertekad untuk mendapatkan suaminya Muhammad Jaafar yang ketika itu masih bernafas dalam keadaan cukup nazak.

Setelah beberapa ketika Muhammad Jaafar pun menghembus nafasnya yang terakhir di sisi isteri dan anak-anak kesayangannya. Lans Koperal Jidin Omar yang sedang bertahan menentang pengganas komunis pula terkena peluru dan hal ini menyebabkan diacedera parah.Seterusnya pengganas membakar rumah pasung. Othman dan Mohd Top Lazim terperangkap.Untuk menyelamatkan diri, Othman lari dari kepungan itu lalu terjun ke sungai berselindung di dalam bot. pengganas terus mengejar Othman dan Othman bergerak ke tebing dan berselindung pada seperdu pohon. Pengganas tidak jadi membunuh Yusof Rono dan Ahmad Khalid kerana menyangka kedua-duaanggota polis itu sudah mati. 

Keseluruhannya, pengganas seramai 180 orang, berjaya menguasai Balai Polis yang dipertahankan oleh 18 anggota polis itu. Pengganas meninggalkan Balai Polis Bukit Kepong kira-kira jam 8.00 pagi. Ahli keluarga polis dibiarkan begitu sahaja. Mereka meratapi mayat insan yang tercinta dengan perasaan duka dan nestapa. Othman yang bersembunyi di dalam sungai mulai merangkak ke tebing setelah memastikan pengganas komunis telah meninggalkan kawasan tersebut. Oleh kerana terlalu letih dan haus Othman cuba meminum air tetapi ditegah oleh Mariam kerana air di dalam itu telah dimasukkan racun oleh Mat Indera.

Penghulu Ali dan orang-orangnya pula hanya berjaya memasuki kawasan itu selepas pengganas meninggalkan kawasan tersebut. Mereka memadamkan kebakaran, mengangkat mayat, dan mangsa yang tercedera. Pasukan penyelamat yang diketuai oleh OCPD Pagoh juga telah tiba dan turut membantu menyelamatkan mangsa. Pada maghribnya pula, anak-anak buah Penghulu Ali berkumpul di masjid Bukit Kepong mengadakan tahlil, bacaan Al-Quran serta membaca yasin secara berterusan dan bergilir-gilir sehingga subuh. Setelah selesai solat Subuh sebahagian daripada mereka telah diarahkan untuk menggali 23 liang lahad bagi mengebumikan mayat anggota polis yang terkorban.

Pada 24 Februari 1950, jam 7.00 pagi, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Jaafar dan rombongannya menuju ke pekan Lenga dan telah diberikan taklimat tentang peristiwa yang berlaku.Beliau telah bersolat zuhur bersama-sama penduduk kampung dan menyembahyangkan mayat pahlawan yang telah siap dikafankan. Satu demi satu keranda diturnkan ke lubang liang lahad dandikambus rapat. Imam masjid membacakan talkin dan doa. Dato’ Onn Jaafar berangkat pulang setelah selesai upacara pengebumian.

Nama-nama Anggota Polis terkorban dalam tragedi ini antaranya:
1- Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
2- Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
3- Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
4- Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
5- Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
6- Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
7- Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
8- Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
9- Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
10- Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
11- Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
12- Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
13- Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
14- Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad
15- Polis Bantuan / Auxiliary Police
16- Ins. Kudarina Naknok
17- AP 2130 Samad bin Yatim
18- AP 1912 Mahmud bin Sa'at
19- AP 1925 Ali bin Akob
20- AP 2127 Othman Yahya

Manakala Keluarga Anggota yang terkorban terdiri daripada,
1- Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
2- Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
3- Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
4- Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
5- Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
1-AP 2098 Redzuan bin Alias
2- Embong bin Lazim
3- Mendiang Koh Ah Cheng

Anggota Polis yang terselamat terdiri daripada
1-Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff;
2-Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud;
3-Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid;
4-Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota yang terselamat
1-Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
2-Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
3-Abu Samah bin Muhammad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
4-Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
5-Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
6-Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
7-Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
8-Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
9-Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
10- Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Saya tidak pernah melihat orang yang seberani mereka. Mereka tidak berjuang kerana wang mahupun untuk mendapatkan pingat. Mereka berjuang diatas tanggungjawab mereka untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta, kata Ketua Polis J.J Raj.

Berdepan dengan keganasan yang tidak berkesudahan dengan musuh yang begitu komited dan tegar sehingga sanggup membunuh kanak-kanak dan wanita, Pesuruhjaya Tinggi Gurney segera memohon bantuan tambahan dari London.

London tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak, mereka menghantar Leftenan Jeneral Harold Briggs. Beliau yang dikatakan sangat tegas dan berdisiplin tinggi diharap dapat membantu menangani kekejaman pengganas komunis.

AL-FATIHAH UNTUK PARA PEJUANG YANG MEMPERTAHANKAN BUKIT KEPONG


bersambung.....