Monday, January 4, 2016

KERAJAAN ARAH HENTI OPERASI PERLOMBONGAN BAUKSIT


Keluh kesah rakyat dan beberapa NGO berhubung pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang telah mendapat perhatian kerajaan pusat. 

Arahan terbaru kabinet adalah menghentikan sementara operasi perlombongan bauksit selama tiga bulan. Ia cukup melegakan bagi penduduk di sekitar Kuantan terutama mereka yang berhadapan secara langsung dengan masalah perlombongan bauksit. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya akan mengkaji semula kaedah dan tatacara pengangkutan bauksit. 

Keputusan ini diambil berdasarkan faktor cuaca dan kesihatan penduduk setempat.

Kerajaan akan mengkaji dan mencari kaedah terbaik bagi mengelak pencemaran yang berpunca dari perlombongan bauksit.

Kaedah pengangkutan darat yang diguna pakai sekarang adalah tidak selamat. Walaupun tertutup,  namum debut dan sisa bauksit masih berterbangan dan mengotorkan persekitaran. 

Begitu juga dengan pengangkutan laut. Gelora lautan dan angin kuat boleh membuatkan simpanan bauksit dalam kapal terbalik.

Perlombangan bauksit hari ini telah mencapai episod yang cukup mencabar tahap kesabaran orang ramai apabila laut di sekitar Kuantan turut menerima kesan apabila ia bertukar menjadi warna kemerah-merahan.

Liow berkata, kerajaan amat memandang serius perkara ini dan kabinet telah memutuskan untuk menghentikan perlombongan bauksit selama tiga bulan.

Bagi Liow pencemaran bauksit ini cukup serius dan perlu tindakan segera bagi mengawalnya.

Selaku kerajaan negeri, Menteri Besarnya Datuk Seri Adnan Yaakob mengalu-alukan ulasan dan pendapat dari semua pihak terhadap isu bauksit di negeri Pahang.

Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junidi juga  telah beberapa kali turun ke lokasi yang dilaporkan bagi meninjau sendiri keadaan sebenar serta mendengar penjelasan kerajaan negeri berhubung isu ini. 

Pemuda Selempang Merah merasakan tindakan kerajaan tepat pada masanya dan berharap kerajaan dapat mencari solusi yang sesuai akibat dari masalah ini.