Monday, December 21, 2015

BOIKOT McDONALD's : SATU PANDANGAN ALTERNATIF



Saya merujuk kepada  beberapa penulisan berkaitan kempen  boikot  McDonald's.

Saya berpendapat imaginasi penulis-penulis tersebut setaraf cerita-cerita dongeng Barat yang gemar menambah garam dan gula sebagai bahan perisa.

Antaranya penulisan yang menyebut berkenaan hubungan McDonald's dengan Tentera Israel IDF melalui Jewish United Fund.


Kononnya sumbangan McDonald's kepada JUF melalui "Matching Gift Program"  berakhir di  IDF. 

Agak sukar untuk mempercayai imaginasi penulis seperti ini,  tapi inilah hipotesis mereka untuk memfitnah McDonald's. 

Seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini, berikut merupakan jawapan ringkas pembohongan dan fitnah mereka  terhadap McDonald's Malaysia;

1- McDonald's Malaysia tiada kaitan langsung dengan aktiviti atau polisi yang dibuat oleh McDonald's Corporation.

2- JUF hanyalah salah satu dari ribuan NGO badan kebajikan yang mendapat derma dari McDonald's Corporation di Amerika dan bukannya McDonald's Malaysia.

3- Semua bantuan yang disenaraikan tidak ada satu pun sampai kepada IDF (JUF Affiliates & Beneficiaries) KECUALI  beberapa program pemulihan untuk bekas askar yang berkhidmat dalam IDF. 


Mungkin ramai diantara kita tidak tahu bahawa McDonald's di Israel juga diboikot oleh warga Israel kerana polisinya tidak membuka cawangan diatas tanah rakyat Palestin demi menghormati undang-undang antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendapatan atau perniagaan di atas Green Line yang ditetapkan sebelum Perang Arab-Israel 1967.

Polisi ini menimbulkan rasa tidak senang penduduk Israel dan merasakan McDonald's mendiskriminasi mereka yang tinggal di penempatan  di atas tanah Palestin. 

Bahkan pemilik McDonald's Israel Dr Omri Padan merupakan salah seorang pengasas NGO Peace Now yang anti penempatan haram di atas Tanah Palestin. 

Logiknya di sini tidak mungkin seorang yang anti keganasan Israel akan menyokong mereka?

Mana-mana perniagaan pun yang menjalankan perniagaan di sesebuah negara akan menyumbangkan pulangan berbentuk peluang pekerjaan dan sumbangan ekonomi termasuklah McDonald's.

Rangkaian perniagaan McDonald's ada diseluruh dunia bukan hanya ada di Israel. Jika McDonald's perlu di boikot kerana menjalankan perniagaan di Israel, jadi bagaimana pula dengan perniagaan-perniagaan lain yang berniaga di Israel? Tidakkah semuanya perlu  diboikot?


Kenyataan sesetengah blog yang anti McDonald's bahawa McDonald's memberi peluang pekerjaan kepada warga Israel dan tidak kepada warga Palestin  kelihatan kebudak-budakan. 

Sebagai satu entiti perniagaan, McDonald's sudah tentulah memerlukan pekerja. Jika perniagaan itu dibuka di Israel, masakan pekerja Bangladesh pula hendak diambil sebagai pekerja?

Ada sesiapa pernah jumpa seorang Yahudi Israel bekerja di McDonald's Malaysia ? Sudah tentulah tidak ada kerana perniagaan ini dibuka di Malaysia, begitu juga jika ianya di buka di negara Israel. Apakah perkara semudah ini tidak mampu difikirkan oleh para penulis boikot McDonald's Malaysia? 

Berkenaan warga Palestin, polisi McDonald's adalah tidak menyokong atau terlibat secara tidak langsung dalam konflik agama dan peperangan, oleh itu sudah tentulah tiada cawangan McDonald's dibuka dikawasan berlakunya konflik tersebut. 

Oleh itu tiada isu berkenaan warga Palestin tidak diambil bekerja di Mcdonald's.

No comments:

Post a Comment