Showing posts with label Israel. Show all posts
Showing posts with label Israel. Show all posts

Wednesday, May 3, 2017

KEWUJUDAN ISRAEL TIDAK DI IKTIRAF




Sehari sebelum Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas me­ngadakan pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washing­ton esok, pergerakan Hamas mengeluarkan satu mesej tegas mengenai kedaulatan Palestin dengan menolak pengiktirafan terhadap kewujudan Israel.

Pendirian tersebut disuarakan oleh Ketua Pergerakannya, Khaled Meshaal yang hanya me­nerima penubuhan negara Pa­lestin berdasarkan sempadan wilayah itu pada 1967 sambil menyifatkan konflik antara kedua-dua pihak bukannya krisis agama.

Melalui satu dokumen dasar baharu pertubuhan terbabit yang didedahkan dekat sini semalam, Khaled seperti dipetik oleh portal Al-Jazeera membuat penegasan berikut: “Kami (Hamas) tidak akan melepaskan satu inci pun tanah Palestin tanpa mengira sebarang tekanan dan tempoh penjajahan itu berlangsung. Hamas turut menolak sebarang idea melainkan usaha memerdekakan tanah air ini sepenuhnya.”

Ketika piagam penubuhan Hamas pada 1988, pergerakan itu menggesa pengambil­alihan semula ta­nah Palestin termasuk kawasan yang diduduki Israel ketika ini, namun dasar terbaharu itu menegaskan mereka akan hanya me­nerima sempadan 1967 sebagai asas penubuhan negara Palestin.

Malah, Hamas mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin manakala pela­rian pula dibenarkan kembali ke kediaman asal masing-masing.

Persempadanan 1967 merujuk kepada garisan sempadan yang ditetapkan pada 1949, iaitu sebelum berlakunya Perang Enam Hari 1967 yang menyaksikan Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dari Jordan dan Semenanjung Gaza dari Mesir.

Dalam pada itu, dokumen dasar baharu Hamas terbabit juga me­ne­rima penyelesai­an dua negara yang dianggap sebagai produk akhir Perjanjian Oslo antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Malah, dokumen itu turut menjelaskan Hamas berjuang menentang ‘projek Zionis’ bukannya aga­ma Yahudi de­ngan membuat perbandingan antara Yahudi yang percaya de­ngan fahaman Yahudi dan penduduk Israel Zionis yang menjajah tanah Palestin.

Selain itu, dasar baharu Hamas ter­babit menolak kaitan antara pergerakan ber­kenaan dan Ikhwanul Muslimin.

Menurut penganalisis politik, pendedahan dokumen itu merupakan satu usaha Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza untuk kelihatan lebih pragmatik dan membantu pergerakan tersebut daripada berdepan pe­ngasingan antarabangsa.

Seorang pensyarah Universiti al-Azhar di Gaza, Mohammad Abu Saada menyifatkan dokumen baharu itu merupakan usaha Hamas menyesuaikan kehendak Mesir dan menenangkan negara terbabit berhubung kaitannya dengan Ikhwanul Muslimin yang dianggap Kaherah sebagai pertubuhan pengganas.

“Hamas sedang cuba bergerak seiring antara kumpulan pendesak dan golongan sederhana dalam satu cara, golongan sederhana boleh menerima negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 manakala kumpulan pendesak masih bo­leh mengatakan mereka tidak mengiktiraf Israel,” jelasnya.



Friday, May 13, 2016

TURKI DI SERANG

Sebuah kenderaan dilaporkan meletup berhampiran markas tentera di Istanbul hari ini, menurut agensi berita CNN Turk.

Insiden itu merupakan serangan bom terbaharu yang melanda negara itu pada tahun ini.
Penyiar tempatan NTV melaporkan, lima orang cedera dan ambulans telah bergegas ke tempat kejadian.

Turki telah dilanda dengan beberapa siri pengeboman pada tahun ini, termasuklah dua serangan pengebom berani mati yang menyasarkan kawasan tumpuan pelancong dipercayai didalangi oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) manakala serangan bom kereta di Ankara dipercayai dilakukan oleh kumpulan militan Kurdish

Friday, December 25, 2015

BOIKOT McDONALD's : EMOSI MENGATASI KEWARASAN



Emosi dan taksub, itulah Hakikat yang terpaksa kita terima dalam masyarakat Malaysia terutama orang Melayu. Tidak kira samada mereka dari golongan terpelajar atau sebaliknya. 

Sikap ketaksuban melampau dan beremosi ketika berdepan dengan suatu insiden atau isu bagaikan sudah sebati dengan sikap orang Melayu.

Boleh jadi DNA masyarakat Melayu Islam memang diciptakan begitu? 

Oleh itu, tidak hairan dalam isu boikot McDonald's terhadap kekejaman dan kezaliman tentera Israel terhadap penduduk Palestin, jika kita dapat baca komenter-komenter mereka di media sosial ianya bagaikan sudah diresapi nafsu amarah yang membuak-buak. 

Segala penerangan rasional yang berfakta sudah tidak lagi berkesan ketika itu. Bagaikan mencurah air di daun keladi.

Saya memahami sikap simpati orang Malaysia terhadap kekejaman Israel, apatah lagi melihat kanak-kanak terbunuh, cedera dan menjadi yatim piatu. 

Dalam keadaan ini, emosi sesiapa pun akan terusik dan tersentuh. Bahkan penulis sendiri pun beberapa kali dengan terpaksa mengizinkan air mata  ini mengalir menyatakan simpati. 

Namun sebagai manusia waras yang mahukan keadilan ditegakan, kita seharusnya mampu membimbing emosi ini dengan sikap sabar dan bertenang.

Saya secara peribadi mengutuk kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin. Dalam masa yang sama saya tidak bersetuju kempen boikot ini dilaksanakan terhadap McDonald's. 

Tidak seharusnya McDonald's diseret sekali dalam konflik agama dan politik di Timur Tengah. 

McDonald's dalam kenyataan mereka berulang kali menegaskan, syarikat perniagaan mereka adalah syarikat pemilikan awam dan bukannya individu. McDonald's juga menegaskan bahawa polisi mereka adalah tidak terlibat dalam mana-mana konflik keagamaan atau politik.

Oleh itu sewajarnya kita mendengar dan meneliti penjelasan mereka terlebih dahulu, bukannya percaya dengan infomasi dunia maya yang belum tentu kesahihannya. Ini sesuatu yang tidak adil.

Keadilan wajar ditegakan tanpa kita menzalimi mereka yang tidak bersalah. Ini adalah tuntutan asas dalam agama Islam. 

Sedikit sebanyak kempen boikot ini telah menjejaskan beberapa premis perniagaan McDonald's di Malaysia yang mana mejoriti pemiliknya adalah bumiputra Islam.

 Kenapa perniagaan orang Melayu Islam ini dijadikan mangsa ? Sedangkan banyak lagi perniagaan lain yang berkiat rapat dengan Amerika sekutu Israel di sini ?

Bahkan saya mendengar ada pekerja McDonald's dicerca, dihina dan diganggu fizikal mereka. Sehinggakan McDonald's terpaksa mengeluarkan beberapa kenyataan di media massa dan akhbar tempatan bahawa mereka tidak terlibat dalam sebarang konflik keagamaan, peperangan mahupun politik semasa.

Inilah yang dinamakan emosi mengatasi kewarasan pemikiran.

Kebanyakkan masyarakat Melayu kita suka mengambil jalan singkat termasuklah dalam isu boikot McDonald's ini. 

Meletakkan kepercayaan mereka kepada blog-blog tertentu yang disaluti hujah-hujah dangkal tanpa fakta menjadikan mereka bagaikan sebuah mesin untuk menerima apa sahaja program tanpa perlu berfikir.

Masyarakat Malaysia seharusnya menyedari dan menginsafi bahawa sebenarnya tindakan mereka memboikot McDonald's Malaysia telah menjejaskan  pendapatan anak bangsa mereka sendiri. 

Tidak ada sekelumit pun menjejaskan tindakan ganas Israel di Palestin. Pendak kata, Israel tidak pernah peduli pun apa yang kita nak boikot.
















Wednesday, December 23, 2015

PALESTIN SETELAH KEMPEN BOIKOT McDONALD's


Setelah sekian lama kempen boikot McDonalds ini dijalankan di Malaysia,  timbul persoalan didalam kotak fikiran saya, sejauh mana kempen ini memberi impak positif kepada keselamatan rakyat Palestin ?


Adakah Regim ganas Israel sudah menghentikan pencerobohannya di Tanah penempatan Palestin ? 


Atau adakah rakyat Palestin sudah bebas dan hidup aman damai dan selamat dari menjadi SASARAN keganasan tentera Israel ? 


Jawabannya sudah pasti amat mengecewakan bukan...!!!


Tidak seinci pun Tanah rakyat Palestin dibebaskan dan tidak ada seorang pun dari rakyat Palestin yang selamat dari buruan peluru-peluru yang memburu dan meratah tubuh badan mereka. 


Kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin tidak pernah berakhir bahkan setiap hari mereka semakin ganas dan bertambah biadap. 


Buktinya ;

(1) 5  Disember 2015 yang lalu empat orang penduduk Palestin ditembak mati oleh askar Israel kerana dituduh bersubahat membunuh anggota mereka di utara Tebing Barat, Ramalah.

(2)  15 Oktober 2015,  dua remaja Palestin ditembak mati polis Israel setelah disyaki mereka dalang yang menyerang anggota keselamatan Israel. Mereka dibunuh di dua  lokasi yang berbeza, seorang remaja berusia 20 tahun dan seorang lagi berusia 23 tahun.

(3) 11 Julai 2015, Israel merampas barangan bantuan termasuk Wang  yang dibawa kepada rakyat Palestin oleh beberapa Persatuan dari Malaysia yang mana Aman Malaysia menjadi penyumbang utamanya. Tindakan ini berikutan Aman Palestin telah diletakan dalam senarai pengganas oleh regim Israel. 

(4) 19 September 2015, tiga penduduk Palestin cedera selepas polis Israel melepaskan tembakan ke arah mereka di Kafr Kaddum yang berhampiran dengan Nablus. 3000 anggota polis dikerahkan ke sekitar Masjidil Aqsa setelah tercetus keganasan berikutan sambutan Tahun Baru Yahudi.

(5) 19 November 2014, sebuah rumah penduduk Palestin dibom tentera Israel setelah ada diantara ahli keluarga mereka dituduh merempuh dua penduduk Israel disebuah perhentian bas di Israel.


Ini merupakan sebahagian senarai keganasan regim Israel yang mampu saya kumpulkan bagi membuktikan bahawa selepas kempen boikot McDonalds yang dilaksanakan di Malaysia tidak langsung memberi kesan kepada tindakan Israel atau membantu pihak Palestin.


Bahkan regim Israel berterusan menganas tanpa henti setiap saat memburu dan membunuh penduduk Palestin. 


Adakah ini bermakna kita gagal dalam kempen boikot ini ??? Tidak !!! Tidak timbul persoalan kita gagal, tetapi kenyataan sebenarnya kita telah SALAH ! 


Kita telah salah memilih musuh dalam usaha memberi tekanan kepada Israel sedangkan McDonald's tidak ada kena dengan kezaliman Israel yang dilakukan terhadap penduduk Palestin. 


Tidak ada sekelumit pun sumbangan McDonald's kepada kempen keganasan Israel samada dalam bentuk sokongan mahupun sumbangan dana. 

SEDARLAH WAHAI RAKYAT MALAYSIA !


Pemuda Selempang Merah (Bani Jawi) 





  




Monday, December 21, 2015

BOIKOT McDONALD's : SATU PANDANGAN ALTERNATIF



Saya merujuk kepada  beberapa penulisan berkaitan kempen  boikot  McDonald's.

Saya berpendapat imaginasi penulis-penulis tersebut setaraf cerita-cerita dongeng Barat yang gemar menambah garam dan gula sebagai bahan perisa.

Antaranya penulisan yang menyebut berkenaan hubungan McDonald's dengan Tentera Israel IDF melalui Jewish United Fund.


Kononnya sumbangan McDonald's kepada JUF melalui "Matching Gift Program"  berakhir di  IDF. 

Agak sukar untuk mempercayai imaginasi penulis seperti ini,  tapi inilah hipotesis mereka untuk memfitnah McDonald's. 

Seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini, berikut merupakan jawapan ringkas pembohongan dan fitnah mereka  terhadap McDonald's Malaysia;

1- McDonald's Malaysia tiada kaitan langsung dengan aktiviti atau polisi yang dibuat oleh McDonald's Corporation.

2- JUF hanyalah salah satu dari ribuan NGO badan kebajikan yang mendapat derma dari McDonald's Corporation di Amerika dan bukannya McDonald's Malaysia.

3- Semua bantuan yang disenaraikan tidak ada satu pun sampai kepada IDF (JUF Affiliates & Beneficiaries) KECUALI  beberapa program pemulihan untuk bekas askar yang berkhidmat dalam IDF. 


Mungkin ramai diantara kita tidak tahu bahawa McDonald's di Israel juga diboikot oleh warga Israel kerana polisinya tidak membuka cawangan diatas tanah rakyat Palestin demi menghormati undang-undang antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendapatan atau perniagaan di atas Green Line yang ditetapkan sebelum Perang Arab-Israel 1967.

Polisi ini menimbulkan rasa tidak senang penduduk Israel dan merasakan McDonald's mendiskriminasi mereka yang tinggal di penempatan  di atas tanah Palestin. 

Bahkan pemilik McDonald's Israel Dr Omri Padan merupakan salah seorang pengasas NGO Peace Now yang anti penempatan haram di atas Tanah Palestin. 

Logiknya di sini tidak mungkin seorang yang anti keganasan Israel akan menyokong mereka?

Mana-mana perniagaan pun yang menjalankan perniagaan di sesebuah negara akan menyumbangkan pulangan berbentuk peluang pekerjaan dan sumbangan ekonomi termasuklah McDonald's.

Rangkaian perniagaan McDonald's ada diseluruh dunia bukan hanya ada di Israel. Jika McDonald's perlu di boikot kerana menjalankan perniagaan di Israel, jadi bagaimana pula dengan perniagaan-perniagaan lain yang berniaga di Israel? Tidakkah semuanya perlu  diboikot?


Kenyataan sesetengah blog yang anti McDonald's bahawa McDonald's memberi peluang pekerjaan kepada warga Israel dan tidak kepada warga Palestin  kelihatan kebudak-budakan. 

Sebagai satu entiti perniagaan, McDonald's sudah tentulah memerlukan pekerja. Jika perniagaan itu dibuka di Israel, masakan pekerja Bangladesh pula hendak diambil sebagai pekerja?

Ada sesiapa pernah jumpa seorang Yahudi Israel bekerja di McDonald's Malaysia ? Sudah tentulah tidak ada kerana perniagaan ini dibuka di Malaysia, begitu juga jika ianya di buka di negara Israel. Apakah perkara semudah ini tidak mampu difikirkan oleh para penulis boikot McDonald's Malaysia? 

Berkenaan warga Palestin, polisi McDonald's adalah tidak menyokong atau terlibat secara tidak langsung dalam konflik agama dan peperangan, oleh itu sudah tentulah tiada cawangan McDonald's dibuka dikawasan berlakunya konflik tersebut. 

Oleh itu tiada isu berkenaan warga Palestin tidak diambil bekerja di Mcdonald's.

Thursday, December 3, 2015

BOIKOT SATU KESILAPAN , McDONALD'S TIADA KAITAN DENGAN ISRAEL


Pembaca yang budiman, 

McDonalds merupakan satu rangkaian restoran makanan segera yang terkenal di dunia. McDonalds sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan dan merupakan pilihan utama mereka disemua peringkat umur, warna kulit, bangsa mahupun agama. Di Malaysia, McDonald's telah beroperasi selama lebih kurang 30 tahun. 

Di negara kita, Mc Donalds dikendalikan oleh Golden Arches Restaurants Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai MDonald's Malaysia. Golden Arches Restaurants Sdn. Bhd. telah dianugerahkan lesen oleh Perbadanan MacDonald's Amerika Syarikat pada tahun 1980 bagi mengendalikan rangkaian restoran McDonald's di Malaysia. 

Restoran pertama McDonald's dibuka pada 29 April 1982 di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kebanyakan restoran McDonald's dikendalikan oleh francaisi-francaisi tempatan. 

Namun setiap kali berlakunya konflik di Palestin, McDonald's Malaysia selalunya yang akan menjadi sasaran pelbagai fitnah termasuklah kempen boikot McDonald's oleh beberapa organisasi-organisasi tempatan. Antara sebab mereka memboikot McDonald's adalah kerana beberapa dakwaan yang cukup tidak berasas antaranya McDonald's dituduh dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi yang menyokong aktiviti kententeraan Israel di Palestin, seorang yang anti Islam dan anti Palestin. 

Sudah tentu tuduhan ini tidak benar kerana McDonald's bukanlah dimiliki oleh mana-mana individu. McDonald's corporation adalah sebuah syarikat  pegangan awam ( Public Traded Company atau PTC) yang disenaraikan dalam Bursa Saham New York dan mempunyai lebih 1.8 juta pemegang saham. Semua pemegang sahamnya terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan warganegara. Tidak ada seorang pun dari mana-mana individu yang memiliki lebih dari 10 peratus saham.

Bahasa mudahnya, sesiapa sahaja yang mempunyai wang atau dana serta berkelayakan dari segi peruntukan undang-undang boleh menjadi pemilik saham McDonald's. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menjadi pemilik (saham) McDonald's samada dia Yahudi, Melayu, Cina atau siapa sahaja. 

Sebagai sebuah syarikat antarabangsa McDonald's telah beroperasi di 120 negara termasuklah negara Islam. McDonald's  mempunyai  pekerja dan pelanggan yang berbilang bangsa, agama dan warganegara sudah tentulah McDonald's sangat menghormati setiap daripada mereka, oleh itu tidak mungkin sama sekali McDonald's terlibat  atau memihak dalam sebarang konflik politik atau agama. 


Jika kita menyelusuri  kempen boikot ini, ianya langsung tidak berpaksikan apa-apa kebenaran. McDonald's Malaysia juga dituduh  memberi sumbangan  Royalty Fees sebanyak 5 % kepada McDonald's Corporation yang mana dari wang inilah kononnya McDonald's Corporation sumbangkan kepada kerajaan Israel.


Perlu kita ketahui dan faham konsep  berkenaan perniagaan francais ini barulah kita faham apa itu Royalty Fees. Secara ringkasnya ianya  merupakan satu hubungan kontrak antara francaisor dan francaisi. Francaisor wajib memberi penyeliaan, bimbingan dan sebagainya. Manakala francaisi pula berkewajipan membuat bayaran berupa laburan dalam jumlah tertentu bagi mendapat kebenaran menguna jenama, bentuk dan sebarang sistem francais dibawah kawalan francaisor. 

Dalam sistem perniagaan McDonald's, Royalty Fees ini dibayar oleh pengusaha dan pemilik (francaisi) cawangan McDonald's diseluruh dunia. Apa yang berlaku McDonald's Malaysia hanya  membayar Royalty Fees kepada McDonald's Corporation.Ini merupakan pekara yang biasa berlaku dalam perniagaan di seluruh dunia. Dan apa yang dikatakan Royalty Fees ini disumbangkan kepada negara Israel untuk membiayai aktiviti keganasan mereka di Palestin  adalah fitnah semata-mata. 




Sebahagian besar pendapatan McDonald's Malaysia digunakan bagi tujuan perbelanjaan dan pembangunan perniagaan. Dan jangan tergejut bahawa hampir 90% francaisi -francaisi McDonald's di Malaysia adalah Bumiputera Melayu Islam ? Jadi kenapa anda perlu memboikot perniagaan saudara anda sendiri ?

Perlu saya tekankan disini, selepas lebih 20 tahun McDonalds bertapak Malaysia, McDonald's mula diterajui oleh orang Melayu Islam. Bukankah itu sesuatu yang patut kita banggakan ? McDonalds juga telah melaksanakan kerja-kerja kebajikan serta melunaskan tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia. Apa yang lebih patut kita bersyukur dan berterima kasih ialah McDonalds juga telah menyediakan pekerjaan kepada hampir 2000 orang dengan lebih 170 cawangan diseluruh negara. Oleh kerana ia merupakan sebuah perniagaan francais, McDonald's telah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan dalam masa yang sama telah melahirkan  usahawan bumiputera yang maju, bermotivasi dan berdaya saing.

Renung-renung dan fikir-fikirkan.......






Monday, March 31, 2014

Israel roboh kompleks masjid

BAITULMAQDIS 30 Mac - 

Beberapa jentolak milik Israel dilapor merobohkan sebuah kompleks yang menempatkan masjid, pangsapuri dan pusat perubatan milik penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, Rabu lalu.

Laman web d.intimes.co.uk melaporkan, pemilik kawasan tersebut, Abu Ghaliya berkata, bangunan berkenaan dirobohkan tanpa sebarang notis awal daripada pihak berkuasa Israel.

Saksi melaporkan kepada Maan News Agency, polis dan pasukan khas Israel menyerbu masuk ke Dataran Khallat al-Ein dalam kawasan penempatan al-Tur di timur bandar lama Baitulmaqdis untuk merobohkan kompleks itu.

Para kakitangan mengosongkan kompleks dan menutup pili gas dan air sebelum jentolak terbabit dibawa masuk.

Abu dikatakan tidak mempunyai permit pembinaan yang diperlukan, namun menurutnya dia telah cuba mendapatkan permit itu selama 18 tahun daripada Majlis Perbandaran Baitulmaqdis.

"Datuk Bandar Baitulmaqdis telah meluluskan pembinaan di kawasan itu, tetapi Kementerian Dalam Negeri Israel menentang pembinaan terbabit," katanya.

Bulan lalu, sebuah pertubuhan bantuan memberi amaran terhadap tindakan Israel merobohkan hartanah milik rakyat Palestin yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, 25 pertubuhan mendedahkan tindakan Israel itu meningkat setiap tahun.
Sebanyak 112 daripada 663 penempatan Palestin yang dimusnahkan pada 2013 dibina menggunakan bantuan kewangan antarabangsa.


SUMBER