Friday, December 25, 2015

BOIKOT McDONALD's : EMOSI MENGATASI KEWARASAN



Emosi dan taksub, itulah Hakikat yang terpaksa kita terima dalam masyarakat Malaysia terutama orang Melayu. Tidak kira samada mereka dari golongan terpelajar atau sebaliknya. 

Sikap ketaksuban melampau dan beremosi ketika berdepan dengan suatu insiden atau isu bagaikan sudah sebati dengan sikap orang Melayu.

Boleh jadi DNA masyarakat Melayu Islam memang diciptakan begitu? 

Oleh itu, tidak hairan dalam isu boikot McDonald's terhadap kekejaman dan kezaliman tentera Israel terhadap penduduk Palestin, jika kita dapat baca komenter-komenter mereka di media sosial ianya bagaikan sudah diresapi nafsu amarah yang membuak-buak. 

Segala penerangan rasional yang berfakta sudah tidak lagi berkesan ketika itu. Bagaikan mencurah air di daun keladi.

Saya memahami sikap simpati orang Malaysia terhadap kekejaman Israel, apatah lagi melihat kanak-kanak terbunuh, cedera dan menjadi yatim piatu. 

Dalam keadaan ini, emosi sesiapa pun akan terusik dan tersentuh. Bahkan penulis sendiri pun beberapa kali dengan terpaksa mengizinkan air mata  ini mengalir menyatakan simpati. 

Namun sebagai manusia waras yang mahukan keadilan ditegakan, kita seharusnya mampu membimbing emosi ini dengan sikap sabar dan bertenang.

Saya secara peribadi mengutuk kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin. Dalam masa yang sama saya tidak bersetuju kempen boikot ini dilaksanakan terhadap McDonald's. 

Tidak seharusnya McDonald's diseret sekali dalam konflik agama dan politik di Timur Tengah. 

McDonald's dalam kenyataan mereka berulang kali menegaskan, syarikat perniagaan mereka adalah syarikat pemilikan awam dan bukannya individu. McDonald's juga menegaskan bahawa polisi mereka adalah tidak terlibat dalam mana-mana konflik keagamaan atau politik.

Oleh itu sewajarnya kita mendengar dan meneliti penjelasan mereka terlebih dahulu, bukannya percaya dengan infomasi dunia maya yang belum tentu kesahihannya. Ini sesuatu yang tidak adil.

Keadilan wajar ditegakan tanpa kita menzalimi mereka yang tidak bersalah. Ini adalah tuntutan asas dalam agama Islam. 

Sedikit sebanyak kempen boikot ini telah menjejaskan beberapa premis perniagaan McDonald's di Malaysia yang mana mejoriti pemiliknya adalah bumiputra Islam.

 Kenapa perniagaan orang Melayu Islam ini dijadikan mangsa ? Sedangkan banyak lagi perniagaan lain yang berkiat rapat dengan Amerika sekutu Israel di sini ?

Bahkan saya mendengar ada pekerja McDonald's dicerca, dihina dan diganggu fizikal mereka. Sehinggakan McDonald's terpaksa mengeluarkan beberapa kenyataan di media massa dan akhbar tempatan bahawa mereka tidak terlibat dalam sebarang konflik keagamaan, peperangan mahupun politik semasa.

Inilah yang dinamakan emosi mengatasi kewarasan pemikiran.

Kebanyakkan masyarakat Melayu kita suka mengambil jalan singkat termasuklah dalam isu boikot McDonald's ini. 

Meletakkan kepercayaan mereka kepada blog-blog tertentu yang disaluti hujah-hujah dangkal tanpa fakta menjadikan mereka bagaikan sebuah mesin untuk menerima apa sahaja program tanpa perlu berfikir.

Masyarakat Malaysia seharusnya menyedari dan menginsafi bahawa sebenarnya tindakan mereka memboikot McDonald's Malaysia telah menjejaskan  pendapatan anak bangsa mereka sendiri. 

Tidak ada sekelumit pun menjejaskan tindakan ganas Israel di Palestin. Pendak kata, Israel tidak pernah peduli pun apa yang kita nak boikot.
















No comments:

Post a Comment